Pendidikan inklusif teras pembangunan Negeri Kedah

Mohd Azam Abd Samat
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah mengangkat martabat pendidikan sebagai teras utama pembangunan negeri demi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak serta mampu memacu kemajuan ekonomi mampan.

- Advertisement -

Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, pendidikan bukan sekadar usaha menambah ilmu semata-mata, malah berperanan membentuk sahsiah dan nilai moral yang tinggi dalam kalangan generasi muda.

“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang yang tidak ternilai. Ia menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan mampu mengubah taraf hidup rakyat secara menyeluruh,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri itu.

Beliau berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Peruntukan Kewangan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Negeri Kedah bagi tahun 2025 di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Menurut beliau, komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan sistem pendidikan menyeluruh dan inklusif adalah selaras dengan hasrat untuk memastikan semua anak negeri mendapat hak pendidikan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Kami berpegang kepada prinsip bahawa pendidikan adalah hak setiap anak negeri. Kita tidak mahu ada anak-anak yang tercicir daripada arus pendidikan hanya kerana kekangan kewangan,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada 16 buah SJKC sebagai usaha berterusan membantu pihak sekolah meningkatkan kemudahan dan persekitaran pembelajaran.

“Kita meraikan kepelbagaian budaya dan bahasa sebagai kekuatan negeri Kedah. Selaras dengan prinsip ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua jenis sekolah,” tambah beliau.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam membina sistem pendidikan yang mampu melahirkan pelajar berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Kita percaya dengan perpaduan dan iltizam bersama, negeri ini mampu terus maju dan makmur dalam kerangka pembangunan yang sejahtera dan berdaya tahan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -