Kenapa tiada lagi kuota tambahan haji tahun ini?

Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kuota tambahan haji yang lazimnya diperoleh Malaysia tidak wujud pada tahun ini, walaupun permintaan tinggi dan agensi pengelola haji berlesen bersedia menguruskan jemaah pada saat akhir.

- Advertisement -

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) menyifatkan keadaan tersebut sebagai merugikan rakyat yang sudah lama menunggu giliran untuk menunaikan ibadah haji.

“Kebiasaannya selepas kuota rasmi diberikan pada akan ada kuota
tambahan, bergantung kepada tahap keakraban antara kerajaan
semasa dengan Kerajaan Saudi.

“Jadi yang saya maksudkan kuota tambahan itu kebiasaannya akan berlalu begitu sahaja, sedangkan ramai rakyat memerlukan dan di luar sana ada agensi pengelola haji berdaftar yang mampu untuk menguruskan pada saat-saat akhir seperti ini.

“Kalau masa akan datang pihak kerajaan ada kuota seperti itu, saya cadangkan supaya diberikan kepada ejen pelancongan yang berdaftar dengan Tabung Haji itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, tiada negara diberikan kuota tambahan haji bagi musim 1446H termasuk Malaysia, berbeza dengan tahun sebelumnya.

“Tidak ada kuota tambahan yang diberikan kepada mana-mana negara. Untuk tahun 1446H ada kuota tambahan yang diberikan kepada Tabung Haji dan kerajaan.

“Keseluruhan daripada kuota tambahan yang diberikan kepada Tabung Haji telah digunakan termasuklah pengelola jemaah haji untuk tahun lepas. Tahun ini memang tidak ada negara pun diberikan kuota tambahan,” katanya.

Ahmad Marzuk dalam soalan asal meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyatakan justifikasi kenaikan kos haji 2025, status pelaburan Tabung Haji dan jumlah kuota haji Malaysia yang tidak digunakan bagi 2020 hingga 2025. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -