Kenapa Tambun tak dijemput ke Bastille Day di Perancis?

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalan mengapa Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun, tidak dijemput menyertai perarakan Hari Kebangsaan Bastille di Perancis baru-baru ini dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), mempersoalkan layanan yang diterima oleh Anwar berbanding pemimpin serantau lain.

Menurut beliau, walaupun Anwar kini memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN, sambutan diberikan ketika lawatannya ke Perancis adalah pada tahap protokol lebih rendah berbanding Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang disambut oleh Menteri Dalam Negeri Perancis.

“Sedangkan Presiden Indonesia hadir dijemput oleh Presiden Perancis untuk menyertai perarakan Bastille. Tetapi Pengerusi ASEAN pula hanya disambut oleh pegawai perkhidmatan awam yang protokolnya jauh lebih rendah?” soalnya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila lawatan tersebut tidak mendapat liputan meluas media, termasuk mengenai ucapan utama Perdana Menteri di South Borne.

Menjawab soalan tambahan tersebut, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan bahawa lawatan Perdana Menteri ke Perancis bukanlah satu lawatan rasmi, sebaliknya hanyalah singgahan dalam perjalanan ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS.

“Lawatan itu bukan bersifat rasmi. Ia adalah singgah sebentar memandangkan sudah ada jemputan terdahulu dari Itali dan Perancis.

Maka kami mengambil peluang untuk mengatur pertemuan dua hala antara Perdana Menteri dan Presiden Emmanuel Macron,” katanya.

Pada soalan asal, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah (PN-Paya Besar) minta Menteri Luar Negeri menyatakan hala tuju Dasar Luar Malaysia pasca ASEAN 2025 dan bagaimana ia menyesuaikan diri dengan landskap geopolitik Indo-Pasifik yang kian berubah. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -