Tindakan dakwa pemberi maklumat bercanggah akta

Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung pendakwaan terhadap seorang pemberi maklumat, Datuk Albert Tei Jiann Cheing dalam isu skandal rasuah lesen perlombongan mineral di Sabah.

- Advertisement -

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) berkata, tindakan tersebut bercanggah dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang bertujuan menggalakkan individu membuat pendedahan mengenai kelakuan tidak wajar kepada pihak berkuasa.

“Dikatakan undang-undang ni dibuat untuk memberi perlindungan dan kekebalan-kekebalan kepada pemberi maklumat daripada tindakan sivil jenayah dan tatatertib. Beliau telah beri maklumat beliau, telah menyerahkan maklumatnya kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Dia telah diancam bunuh oleh pihak-pihak tertentu dia telah buat ‘report’ polis. Tetapi akhirnya, atas dasar apa Albert Tei pada 30 Jun 2025 dituduh di bawah Seksyen 16b (a)? Atas dasar apa beliau dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Dato’ Sri Azalina Othman Said dalam jawapannya berkata, Seksyen 7 akta tersebut tidak memberikan perlindungan kepada ‘whistleblower’ yang tidak membuat pendedahan kepada agensi berkenaan.

“Kalau dia pergi ke media tanpa pergi ke agensi terlibat, elemen Seksyen 7 untuk mendapat perlindungan itu tidak dapat diberikan. Dalam negara kita sejak 2010, memang kita mempunyai proses, mekanisme yang ada,” katanya.

Beliau sebelum itu menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini dan perancangan kerajaan dalam meminda akta tersebut.

Wee juga bertanya bagaimana kerajaan dapat memastikan bahawa penguatkuasaannya dapat menjaga keselamatan pemberi maklumat, terutamanya dalam kes-kes berprofil tinggi. – HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -