
KUALA LUMPUR: Integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sektor awam dan tadbir urus negara semakin berkembang, namun turut menimbulkan cabaran baharu yang membimbangkan.
Khususnya berkaitan penyalahgunaan AI yang boleh mengakibatkan berat sebelah dan diskriminasi akibat data input bersifat tidak seimbang.
Perkara itu dibangkitkan oleh Dr Halimah Ali (PN-Kapar) semasa mengemukakan soalan tambahan dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
“Kehilangan akauntabiliti menjadi isu utama. Jika keputusan dibuat oleh AI, siapakah yang akan dipertanggungjawabkan? Jadi, apakah langkah Kementerian Digital dalam menggubal rangka kawal selia?
“Atau undang-undang khusus bagi mencegah penyalahgunaan teknologi seperti ‘deepfake’?” soal Dr Halimah.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Etika dan Keselamatan AI Kebangsaan yang bersifat bebas dan dwipartisan, demi menjaga integriti pentadbiran serta persepsi awam terhadap penggunaan AI dalam tadbir urus negara.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aspek keselamatan dan kepercayaan adalah keutamaan dalam pengendalian teknologi AI.
“Apa yang penting adalah mewujudkan satu kerangka yang memastikan pengguna yakin terhadap keselamatan platform yang digunakan,” katanya.
Terdahulu, Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) dalam soalan asal meminta Menteri Digital menyatakan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi gelombang AI.
Termasuk soalnya, berkaitan strategi pemindahan teknologi, pembangunan bakat tempatan serta tahap integrasi AI dalam tadbir urus dan sektor ekonomi utama. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











