Apa usaha laksana resolusi Sidang ASEAN-GCC?

Khusus berkaitan serangan rejim Zionis-Israel terhadap Gaza

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) menggesa penjelasan lanjut mengenai tindakan susulan Kementerian Luar (Wisma Putra) terhadap resolusi Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang berlangsung Mei lalu berkaitan serangan terhadap Gaza.

- Advertisement -

Beliau mempersoalkan keberkesanan resolusi yang antara lain menyentuh keperluan mendesak menghentikan kekejaman rejim Zionis serta pembukaan segera laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Zionis bukan sahaja terus menggempur Gaza, bahkan turut menyerang negara-negara jiran termasuk Syria dan Iran. Ini bakal mencetuskan peperangan berpanjangan.

“Jadi, apa pelan tindakan Wisma Putra selepas sidang kemuncak tersebut,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff turut menggesa penjelasan mengenai usaha Malaysia menggerakkan resolusi itu di peringkat antarabangsa, termasuk dalam konteks penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

“Sejauh mana resolusi ini digerakkan secara aktif bagi mendapatkan sokongan dunia? Dan lebih penting, apa pelaksanaan konkrit terhadap apa yang telah digariskan dalam resolusi tersebut?” tambahnya.

Menjawab persoalan itu, Menteri Luar, Dato’ Seri Mohamad Hasan berkata, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC merupakan pencapaian penting kerana berjaya menyatukan suara semua negara anggota ASEAN dalam satu kenyataan bersama, ia sesuatu yang sebelum ini sukar dicapai.

“Kita bukan sahaja bincang soal kekejaman Israel, tapi juga pelbagai isu lain termasuk ekonomi. Tapi paling penting, buat pertama kali ASEAN sebulat suara mengeluarkan kenyataan bersama ini suatu pencapaian besar,” katanya.

Mengulas isu pelantikan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, jelas Mohamad kerajaan masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak AS.

“Kita tunggu dahulu. Bila permohonan rasmi diterima, Wisma Putra akan membuat penilaian dan mengemukakan pertimbangan kepada Jemaah Menteri,” ujarnya.

Pada soalan asal, Syed Ibrahim Syed Noh (PN-Ledang) minta Menteri Luar Negeri menyatakan platform antarabangsa atau inisiatif diplomatik khusus yang akan digunakan oleh Malaysia untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza.

Juga soalnya tindakan untuk menyokong resolusi aman terhadap konflik yang melibatkan Israel termasuk ketegangan Israel-Iran.

HARAKAHDAILY 21/7/2025

- Advertisement -