
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberi jaminan bahawa setiap cadangan dan pembangunan dalam industri pertahanan negara mengambil kira kerjasama serta pandangan Kementerian Pertahanan (MINDEF), selain disesuaikan dengan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai pengguna akhir.
Kamal Ashaari (PN–Kuala Krau) berkata, segala perancangan termasuk aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diselaraskan menerusi satu majlis khas yang telah disusun semula bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara bersepadu dan berlandaskan spesifikasi ATM.
“Semua pelan penambahbaikan keupayaan pertahanan dan pengeluaran produk pertahanan tempatan dilaksanakan berdasarkan keperluan ATM.
“Pendekatan kita ialah memastikan apa-apa yang hendak dibangunkan mempunyai jaminan perolehan daripada pihak kementerian,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, beliau mempersoalkan sejauh mana peranan dan kerjasama MINDEF diambil kira dalam merangka dasar berkaitan pertahanan negara, khususnya selepas isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS).
Juga soalnya terhadap tindakan MINDEF menangani krisis kewangan yang membelenggu syarikat SMB Ardernan di Batu Arang, Selangor selaku pembekal utama keperluan kepada ATM.
“Sedangkan syarikat sedia ada masih berdepan masalah, tiba-tiba muncul cadangan untuk membuka pusat pembuatan peluru baharu di Kuala Lipis. Adakah kesan terhadap syarikat di Batu Arang diambil kira?” soalnya.
Menjawab persoalan itu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa kerajaan sentiasa menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam industri pertahanan negara.
Iaitu menurutnya, selagi keupayaan dan produk yang ditawarkan memenuhi spesifikasi ATM serta berdaya tahan secara komersial.
“Ada syarikat yang dibuka bukan hanya untuk memenuhi keperluan ATM. Jumlah permintaan sedia ada tidak mencukupi untuk menjamin daya tahan syarikat sepenuhnya. Justeru, banyak kilang dibuka juga bagi menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan tidak menyekat pelaburan baharu dalam sektor pertahanan, malah menyambut baik persaingan sihat yang mampu memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan secara menyeluruh. – HARAKAHDAILY 21/7/2025











