Usahawan: Sedia pinjaman motosikal tanpa faedah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM844,000 bagi pelaksanaan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa faedah yang dikendalikan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), khusus untuk membantu usahawan memiliki motosikal bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, skim berkenaan dijangka memberi manfaat kepada 160 usahawan di seluruh negeri.

Katanya, seramai lima penerima akan dikenal pasti bagi setiap 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan pemilihan dibuat oleh penyelaras DUN masing-masing.

“Penyelaras DUN akan memilih usahawan berkelayakan di kawasan masing-masing, mengesahkan latar belakang mereka dan memastikan pemohon memenuhi semua syarat yang ditetapkan di bawah Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Sembang Usahawan @ Kuala Terengganu/Kuala Nerus Sempena SME Open Day 2025 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini semalam.

Menurut Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, skim tersebut menyasarkan individu terlibat dalam sektor ekonomi gig seperti penghantar makanan, perkhidmatan kurier serta usahawan e-dagang, selain mereka yang baru memulakan perniagaan kecil-kecilan.

“Bantuan berkenaan bukan sahaja berperanan meningkatkan peluang menjana pendapatan, tetapi turut menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui perkembangan perniagaan mikro dan kecil.

“Dengan kemudahan motosikal, para usahawan berpeluang meluaskan pasaran, menyertai perkhidmatan penghantaran seperti e-hailing atau delivery, serta mengurus operasi harian dengan lebih efisien sekali gus membuka ruang kepada pendapatan yang lebih stabil dan berterusan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025

- Advertisement -