
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.6 juta menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bagi pelaksanaan Skim Dana Usahawan Belia Terengganu (DUTE), khusus untuk membantu golongan belia memulakan perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, skim tersebut diwujudkan bagi memberi sokongan awal kepada usahawan muda yang masih bertatih dalam bidang keusahawanan.
Menurut beliau, inisiatif ini juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong usahawan dan peniaga kecil, khususnya dalam kalangan anak muda Terengganu.
“Melalui skim ini, kita akan agihkan sebanyak RM50,000 kepada setiap 32 Dewan Undangan Negeri (DUN). Bantuan yang disalurkan kepada individu yang layak adalah antara RM1,000 hingga RM5,000, bergantung kepada keperluan dan kelayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sembang Usahawan @ Kuala Terengganu/Kuala Nerus sempena SME Open Day 2025 yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini, semalam.
Menurut Ariffin, skim berkenaan turut berperanan sebagai alternatif pembiayaan selamat kepada belia yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan tanpa perlu bergantung kepada sumber kewangan berisiko tinggi.
Katanya, terdapat segelintir belia yang terpaksa mendapatkan pinjaman daripada sumber tidak sah akibat kekurangan akses kepada modal permulaan.
“Situasi ini amat membimbangkan kerana bukan sahaja membebankan individu terlibat, malah boleh menggagalkan impian mereka untuk menjadi usahawan yang berjaya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025











