Lebih 64,000 benih ikan dilepaskan di Sungai Dungun

Azman (jaket keselamatan warna merah) pada sesi melepaskan benih ikan air tawar di Kampung Jongok Batu
- Advertisement -

DUNGUN: Sebanyak 64,130 ekor benih ikan air tawar pelbagai spesies, termasuk 130 ekor ikan kelah, telah dilepaskan di Sungai Dungun berdekatan Kampung Jongok Batu dalam satu program pemuliharaan sumber perikanan.

- Advertisement -

Pelepasan benih ikan berkenaan melibatkan peruntukan berjumlah RM36,300 dan turut merangkumi spesies seperti 6,000 ekor baung, 12,000 ekor lampam sungai, 5,000 ekor terbul, 1,000 ekor sebarau serta 40,000 ekor udang galah.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim, kehadiran ikan kelah yang sinonim dengan gelaran ‘raja sungai’ menjadikan program kali ini cukup istimewa.

“Saya rasa di sini yang paling istimewa, sebab ada kelah. Tempat lain tiada kelah. Jadi biar dia membiak. Alhamdulillah, hasil daripada pelbagai program pelepasan pelepasan benih ikan yang kita buat dan masyarakat di sini pula pakat jaga, itu yang paling penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Pelepasan Benih Ikan, Penyerahan Bantuan Peralatan Nelayan Darat dan Insentif Input Akuakultur, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr Sukati Sakka, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Yukang serta Pegawai Khas (Tanah Persekutuan) Pejabat Menteri Besar Terengganu, Naraza Muda.

Beliau menasihatkan agar menjaga kelestarian sumber perikanan dengan mengelakkan kaedah penangkapan yang merosakkan habitat seperti menggunakan racun, bahan letupan atau kejutan elektrik.

“Ikan ini tidak akan habis. Kalau kita setakat memukat, tahan taut, mengail, menyelam (ikan) tidak akan habis. Yang habisnya bila kita pergi racun dia. Pergi tuba, bom, ‘karan’ (menggunakan elektrik) lagi dan macam-macam, maka habislah anak cucu dia. Jadi bila habis, sampai setakat itu sahajalah.

“Kalau kita tuba, kita ambik setakat yang kita nak. Selepas itu kita tinggal, lihat ke belakang yang terapung itu siapa yang nak kutip?” soalnya.

Tambah beliau, kajian inventori yang dijalankan oleh Pejabat Perikanan Negeri menunjukkan spesimen diperoleh melalui kaedah menjala telah mencapai saiz matang, menandakan ekosistem air tawar di kawasan tersebut dalam keadaan baik.

“Mereka jalalah nak tengok spesis apa yang ada, ikan lampan itu besar-besar daripada tapak tangan lagi. Maknanya ia membiak dengan baik,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa benih yang dilepaskan kali ini bersaiz lebih besar berbanding sebelumnya bagi meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan pembiakan semula.

“Saiz ikan yang kita lepas di Jongok Batu ini besar sedikit daripada yang kita lepas di tempat lain. Jadi maknanya, ikan kelah itu memang nampak besar, ikan baung pun besar, bila besar itu dari segi kadar hidup kita harap akan menjadi lebih tinggi.

“Kalau kita lepas anak kecil itu kemungkinan yang hidup kalau 10 peratus pun kita dah Alhamdulillah.

“Tapi bila lepas yang besar semoga dia hidup dengan lebih tinggi dan membiak. sebab spesis yang kita lepas ini spesis yang jenis membiak dan spesis tempatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025

- Advertisement -