PETRA perlu elak kelewatan projek RTB Sungai Kelantan

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) disaran memberi tumpuan khusus terhadap Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 2 bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek bernilai RM851 juta itu melibatkan kawasan yang luas serta lima skop utama perlu diberi perhatian segera.

Menurutnya, sebarang kelewatan hanya akan menjejaskan kepentingan penduduk terutama di kawasan yang sering dilanda banjir.

“Kita tidak mahu kelewatan berlaku kerana ia akan memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Antara kawasan yang terlibat ialah lintasan Sungai Mulong, Sungai Seribun serta perlindungan cerun di Sungai Kelantan,” katanya kepada Harakahdaily selepas mendengar taklimat dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak pemaju di DUN Salor.

Tambah beliau, dua aspek penting perlu diberi perhatian ialah pembinaan pintasan Sungai Mulong dan sistem saliran tempatan.

“Saliran tempatan amat penting kerana ia memberi kesan langsung kepada penduduk.

“Kita berharap penampang yang dibina dapat mengurangkan impak banjir yang sering melanda kawasan penempatan,” jelasnya.

Menurut Tuan Ibrahim, pintasan Sungai Mulong yang dirancang akan menyalurkan kira-kira lapan peratus air Sungai Kelantan ke laluan baharu sebagai kaedah mengurangkan takungan air banjir.

Katanya, cadangan projek itu telah dikemukakan semasa beliau masih berada di kementerian, namun ditangguhkan selepas berlaku pertukaran kerajaan.

“Sekarang projek ini baru bermula dan kita berharap ia tidak akan tergendala lagi,” katanya.

Dalam sesi taklimat itu juga, beliau membangkitkan isu kelewatan pengambilan tanah yang sering menjejaskan jadual dan kos keseluruhan projek.

“Kita harap pengambilan tanah dapat disegerakan kerana jika berlaku kelewatan, ia boleh menyebabkan pertambahan kos yang akhirnya ditanggung oleh kontraktor,” ujarnya.

Tuan Ibrahim turut menyuarakan kebimbangan penduduk terhadap risiko banjir di kawasan baharu yang sebelum ini tidak pernah terjejas.

Namun katanya, berdasarkan pelan semasa, dua pintu air akan dibina iaitu di kepala permukaan Sungai Kelantan dan satu lagi di bahagian kuala.

Kedua-dua pintu ini akan mengawal aliran serta mengelakkan kemasukan air masin ke sistem sungai.

Beliau memaklumkan bahawa projek ini mula dilaksanakan pada 24 April 2024 dan dijadualkan siap pada 24 April 2029.

Bagaimanapun, projek itu kini sudah mengalami kelewatan penyelenggaraan selama 19 hari daripada jadual asal.

“Kita akan terus pantau supaya projek ini berjalan ikut jadual.

“Ini hanyalah permulaan dan selepas ini dijangka muncul pelbagai cabaran termasuk isu pemindahan serta ketidakpuasan hati penduduk akibat pengambilan tanah,” katanya.

Tuan Ibrahim berharap segala isu yang timbul dapat diselesaikan secara baik dengan kerjasama semua pihak agar manfaat besar projek ini benar-benar sampai kepada rakyat.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah ADUN Salor, Saizol Ismail. – HARAKAHDAILY 18/7/2025

- Advertisement -