
BESUT: Daerah Besut kini menyaksikan perkembangan memberangsangkan dalam bidang keusahawanan dan koperasi berikutan kesungguhan penduduk tempatan yang berani meneroka peluang baharu termasuk dalam bidang cucian, batik serta sukan dan eko-pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, semangat keusahawanan yang tinggi serta bimbingan strategik daripada kerajaan negeri dan agensi berkaitan terbukti mampu melonjakkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
“Dalam siri Jelajah Usahawan Daerah Besut beberapa hari lepas, saya melihat kemajuan agak memberangsangkan di kalangan usahawan di daerah tersebut akibat dari kesungguhan dan inovasi mereka dalam usaha memajukan perniagaan.
“Sebagai contoh saya menziarahi Wan Kasi Cuci Resources, sebuah syarikat cucian pakaian milik anak muda tempatan, Aszuan Azmi yang beroperasi di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut.
“Keupayaan anak muda ini mengurus perniagaan syarikatnya sehingga mencapai tahap menembusi pasaran khidmat mencuci luar dan dalam helikopter di samping khidmat mencuci permaidani pejabat, masjid, surau, kenderaan penduduk di daerah Besut sendiri bahkan sampai ke negeri Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Hadir sama dalam siri jelajah ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Yusop Majid, Pengurus Kanan Korporat YPU, Ahmad Shabirin Awalludin, Pengurus Kanan Pembangunan Usahawan, Zulkifli Yunus dan juga delegasi daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang dipimpin oleh pengarahnya Awang Rusli.
Menurut Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Aszuan merupakan antara alumni program Usahawan Belia Sejahtera Terengganu (UBES) 4 yang berjaya mengembangkan perniagaan daripada kecil-kecilan kepada tahap luar biasa.
“Dengan semangat keusahawanan yang tinggi, saudara Aszuan berjaya mengembangkan perniagaan ini menjadi antara perkhidmatan cucian yang dipercayai dan digemari oleh masyarakat setempat. Bermula dengan langkah kecil, kini Wan Kasi Cuci semakin kukuh dengan permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
“Usahawan seperti beliau membuktikan bahawa dengan keazaman dan bimbingan yang tepat, perniagaan yang sederhana juga boleh berkembang maju. Insya-Allah, sokongan strategik melalui agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan terus membantu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di daerah berkenaan.
“Tahniah diucapkan kepada Aszuan, salah seorang anak muda yang berani mencipta peluang baharu,” katanya.
Dalam lawatan sama, Ariffin turut melawat syarikat Qieyza Collection milik usahawan wanita tempatan, Afizah Shaidi yang memperkenalkan pendekatan inovatif dalam penghasilan batik dengan menggunakan kertas tebal sebagai cap bagi menggantikan stempel logam.
“Batik Malaysia adalah warisan kebanggaan dan sering digunakan dalam fesyen, hiasan, atau sebagai cenderamata. Ia juga diiktiraf sebagai warisan kebangsaan Malaysia dan dipromosikan sebagai identiti budaya tempatan.
“Qieyza Collection mengetengahkan hasil seni warisan Melayu ini melalui penghasilan produk tekstil dan kraf berasaskan batik yang sangat halus dan berkualiti tinggi. Sentuhan kreatif Puan Afizah tidak hanya mencerminkan keindahan budaya, malah menjadi sumber pendapatan yang membanggakan.
“Melihat sendiri proses pembuatan batik yang penuh ketelitian dan kreativiti membuka mata tentang potensi besar industri kraf tempatan, khususnya dalam memartabatkan batik Terengganu ke persada lebih luas,” ujarnya.
Ariffin berkata, pihaknya akan terus menyokong usahawan kraf seperti Afizah melalui pelbagai inisiatif latihan, promosi dan jaringan pemasaran bersama agensi berkaitan seperti YPU.
“Moga usaha beliau menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Menurutnya, selain bidang keusahawanan, sektor koperasi turut menunjukkan potensi besar dalam menjana pendapatan melalui aktiviti rekreasi dan pelancongan berasaskan komuniti.
Katanya, antara koperasi yang dilawati termasuk Koperasi Rekreasi 3A Terengganu Berhad sebuah koperasi yang mengusahakan aktiviti sukan lasak Paragliding bertempat Bukit Bubus Paragliding Park, Pantai Dendong Kampung Raja.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan lawatan rasmi bersama Awang Rusli.
“Koperasi ini telah membuktikan bahawa pendekatan inovatif dalam sektor rekreasi dan pelancongan berasaskan komuniti mampu membuka ruang ekonomi baharu yang sangat berpotensi, khususnya dalam menarik minat pelancong tempatan dan luar negara.
“Dengan gabungan semangat keusahawanan, keindahan alam semula jadi dan semangat koperasi, aktiviti seperti paragliding bukan sahaja menjadi tarikan pelancongan, malah turut menjana pendapatan dan peluang pekerjaan untuk masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata, Koperasi Sahabat Gunung Tebu Terengganu Berhad, Lata Belatan, Kampung Kuala Kubang, Jabi Besut, salah satu koperasi yang aktif dan progresif di negeri ini dalam sektor eko-pelancongan dan sukan lasak.
“Koperasi ini memainkan peranan penting dalam menggerakkan ekonomi komuniti melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, antaranya aktiviti sukan lasak ATV, penyediaan tapak perkhemahan mesra alam, inisiatif konservasi dan pengurusan hutan komuniti dan sokongan kepada pelancongan berasaskan komuniti (CBT).
“Saya amat menggalakkan koperasi-koperasi di Terengganu agar mencontohi semangat dan kesungguhan koperasi ini dalam memanfaatkan sumber alam sekitar secara lestari, sekali gus mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan kepada penduduk setempat.
“Insya-Allah, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan terus memberikan sokongan dan bimbingan bagi memastikan koperasi ini terus berkembang maju serta memberi manfaat besar kepada komuniti,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025




















