PKR lupa asal-usul, reformasi kini sudah mati

Ustaz Abdullah Husin
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: PAS Negeri Johor mengecam tindakan PKR Putrajaya kerana membuat laporan polis berhubung perancangan Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, tindakan itu jelas menunjukkan bagaimana PKR hari ini telah menyimpang jauh daripada prinsip reformasi yang pernah mereka perjuangkan suatu ketika dahulu.

“Mereka dahulu berada di barisan hadapan menuntut kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman. Tetapi hari ini, apabila kuasa berada di tangan mereka, suara rakyat pula disekat dan ditakuti,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Tambah beliau, lebih ironi apabila laporan itu dibuat terhadap artikel media Harakahdaily yang hanya menyampaikan maklumat berkaitan himpunan aman tersebut.

Katanya, tindakan sedemikian mencerminkan kejumudan politik dan ketandusan keberanian untuk berdepan dengan realiti penolakan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan semasa.

“Jika benar PKR masih merasakan diri mereka sebahagian daripada semangat reformasi, kami cadangkan agar mereka turut sama turun ke Himpunan Turun Anwar.

“Turunlah ke jalanan, dengar keluhan rakyat yang sudah muak dengan kegagalan demi kegagalan kerajaan hari ini. Jangan hanya pandai menghukum dan mengugut, tetapi takut untuk bersemuka dengan suara rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, PAS Johor menegaskan sokongan penuh terhadap sebarang bentuk himpunan aman yang selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menjunjung hak rakyat untuk bersuara.

“Rakyat tidak akan terus berdiam diri apabila keadilan dipermainkan dan amanah dikhianati. Reformasi kini telah mati, dibunuh oleh tangan-tangan mereka sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025

- Advertisement -