
KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) membantah cadangan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal membebankan kehidupan mahasiswa, khususnya golongan B40 dan M40.
Naib Presidennya, Nik Muhammad Badrain Zamery berkata, kenaikan cukai itu bukan sahaja zalim dari sudut ekonomi, tetapi bertentangan dengan prinsip maqasid syariah yang meletakkan pendidikan sebagai hak asasi wajib dilindungi.
“Peluasan SST adalah jelas bertentangan dengan prinsip Islam dan hak asasi mahasiswa kerana ia melibatkan kenaikan harga barangan asas mahasiswa seperti makanan, alat tulis, asrama, rumah sewa dan lain-lain yang menjadi satu bentuk asasi atau Dharuriyat kepada mahasiswa.
“Pengabaian dan intimidasi ini adalah sangat jelas menunjukkan ketidakadilan kerajaan yang menjadikan mahasiswa sebagai sumber hasil kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Oleh demikian, GAMIS menyeru kepada pihak kerajaan agar membatalkan peluasan SST ke atas mahasiswa dengan segera melalui pengecualian khusus untuk makanan di kampus dan kedai sekitar universiti, buku serta alat tulis dan perkhidmatan pengangkutan pelajar.
“Selain itu, menubuhkan tabung kebajikan mahasiswa yang menggunakan dana zakat dan wakaf untuk menyediakan baucar makanan bulanan dan dobi serta percetakan bulanan kepada pelajar yang memerlukan.
“Seterusnya, melaksanakan reformasi dasar ekonomi dengan menggantikan SST melalui sumber hasil yang lebih adil seperti cukai mewah dan cukai syarikat multinasional.
“Menubuhkan jawatankuasa pengawasan harga di setiap kampus yang terdiri daripada wakil kerajaan, pengurus universiti dan mahasiswa untuk memastikan kestabilan harga barangan asas,” katanya.
Beliau berkata, kebajikan mahasiswa sebagai kelompok yang terdedah dengan tekanan ekonomi seharusnya menjadi keutamaan dalam penyusunan dasar fiskal negara.
Justeru, GAMIS menyeru kepada seluruh Ahli Parlimen, tanpa mengira latar kerajaan mahupun pembangkang agar bersama menyuarakan dan menolak perluasan SST yang membebankan mahasiswa.
“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan semula pendekatan percukaian yang lebih adil dan mesra pendidikan selaras dengan maqasid syariah dan semangat keadilan sosial dalam negara yang meletakkan pendidikan sebagai hak asasi,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia, Mohamad Amar Aidid Mohd Zain berkata, peluasan skop SST sejak 1 Julai lalu telah membawa implikasi kewangan kepada mahasiswa.
Beliau berkata, peluasan skop SST terhadap perkhidmatan langganan digital, pembaikan alat elektronik, dobi dan pembelian dalam talian memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup pelajar. – HARAKAHDAILY 18/7/2025











