Turun Anwar, ‘Anwar, step down!’: Negara ini wajib diselamatkan

- Advertisement -

SAAT puluhan ribu rakyat memadati Stadium Suka Menanti di Alor Setar, seperti mencetus isyarat jelas kebangkitan rakyat untuk berhimpun pada 26 Julai ini di Kuala Lumpur.

Tanah leluhur ini sedang menggelegak panas, suhu kemarahan rakyat sudah tidak terbendung. Menggebu keinginan rakyat untuk pesta bantahan 26 Julai di tengah jantung kota raya. Seperti mengira detik jam yang culas berputar, kerana sejak bantahan ICERD 2018 belum ada unjuk rasa berskala besar untuk menunjukkan bantahan awam kepada rejim yang gagal ini. Seperti majal sial yang datang bertindan tindih, menghempap batu gemala kepimpinan negara, dua tahun dua bulan negara ini tidak berhenti daripada rungutan serta bebelan rakyat sejak 22 November 2022.

Empat bulan lagi, akan genaplah tiga tahun pemerintahan kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Ianya bukan masa yang singkat untuk tidak melunaskan janji reformasi.

Kegagalan menunaikan Manifesto PRU15, tekanan kepada kebebasan menyuarakan pandangan, malah rakyat disergah dengan angkuh apabila meminta kerajaan melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam manifesto. Diikuti dengan polisi ‘flip flop’ kerajaan PH-BN serta teknik pusingan U yang kerap sehingga menimbulkan kemualan berganda kepada rakyat.

- Advertisement -

Cukai demi cukai diperkenalkan sehingga rakyat dihimpit ke ruang paling sempit kehidupan. Emosi rakyat tidak lagi stabil, kes-kes pembunuhan, peningkatan indeks jenayah, hilang jati diri dan merimbun pesta pora maksiat, termasuk seks luar tabie.

Semenjak awal, rakyat memerhatikan tingkah laku barisan Menteri yang tak kompeten, anggota legislatif, anggota eksekutif daripada pihak kerajaan dengan keobsesan mereka terhadap pangkat darjat, membina kroni kapitalisme serta polisi yang gagal untuk memakmurkan negara.

Bak ‘kabinet lipas’ yang menempatkan pelbagai Menteri yang tidak piawai, ada yang tanpa kualifikasi kertas, pemabuk, cenderung menggunakan apparatus kerajaan untuk menyelamatkan diri, pembohong tahap ketagihan atau mythomania, serta pelbagai tampang buruk yang lain.

Hutang negara telah meningkat dengan pantas, terkini RM1.3 trillion, pastinya akan terpikul pada beberapa generasi akan datang untuk melunaskannya.

Sebelum menjelang tarikh 26 Julai, rakyat diugut secara halus serta diperlecehkan seolah-olah berhimpun secara aman adalah satu kesalahan yang besar. PKR Putrajaya contohnya, membuat laporan polis terhadap Harakah kononnya menghasut rakyat. Ironinya, politikus asal jalanan ini seolah-olah lupa asal muasal penubuhan parti bernuansa reformasi ini.

PKR tembuninya ditanam di atas bentrokan aparat keamanan, dibajai benih dengan siraman air kimia FRU, belantan FRU adalah makan minum aktivis mereka. Rupa-rupanya, kelompok politikus jalanan ini apabila mendapat kuasa lebih jahat daripada kerajaan yang mereka cemuh selama ini.

Tanpa sedar, rakyat memerhatikan mereka, dengan pantas cuba menukar cara hidup sekelip mata sehingga mencuat rasa menyampah rakyat.

Era PMX yang ternyata gagal ini, rakyat melihat kepimpinan negara seperti badut politik. Kenyataan media yang sering bercanggah di antara satu sama lain, bahkan persaingan dalaman, intriq serta polemik berpanjangan, kecuaian integriti bahkan ada yang masih tidak menguasai portfolio masing-masing.

Beras tempatan hilang, addendum hilang, kos kehidupan mencanak, segalanya memeritkan rakyat dengan kuasa beli yang semakin mengecil. PMX rajin ke luar negara dengan pelbagai alasan kononnya untuk menarik pelaburan namun rakyat tidak melihat perkembangan ekonomi yang baik, malah pelbagai subsidi untuk rakyat ditarik balik.

Puluhan juta seolah-olah hangus percuma untuk membiayai kos PMX serta rombongan berlanglangbuana ke pelbagai negara dalam tempoh setahun dua ini.

PMX tanpa secubit rasa malu mengumumkan billion demi billion potensi pelaburan, seterusnya rakyat dicukainya. Sangat kontradik!

PMX gagal menyatukan rakyat berbilang kaum. Kesenjangan kaum semakin melebar kerana isu ada kaum yang merasa besar kepala apabila PH-BN memerintah. Mereka berani menggunakan kuasa untuk memperlekeh sijil halal, bahkan menghidangkan makanan tidak halal kepada Muslim.

Menjelang hari Natal tahun lepas, ada kementerian beria-ria mewujudkan euforia Krismas di premis kerajaan tanpa menghiraukan sensitiviti agama, malah Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Kerajaan yang rapuh ini mengganggu kebebasan bersuara di alam siber, mematikan akaun yang aktif berseberangan idea dengan kerajaan. Ugutan halus, intimidasi kepada anak anak-anak muda yang membangkang polisi kerajaan, bahkan menggunakan aparat keamanan untuk terus menekan suara pembangkang.

Krisis dalam badan kehakiman negara memicu kebangkitan pengamal undang-undang sehingga mereka berarak di Putrajaya pada minggu lepas.

PMX gagal untuk mengawal limpahan warga asing ke negara ini, migran ini mencuri peluang pekerjaan rakyat tempatan terutama anak-anak muda.

Malah membimbangkan dengan pemberian taraf kewarganegaraan yang tidak terkawal terutama dari Tanah Besar China. DAP, sekutu besar serta paling dominan dalam kerajaan PMX ini sangat berminat menjaga portfolio pihak berkuasa tempatan (PBT) di mana kerajaan negeri yang pakatan ini kuasai.

Orang Melayu wajib merasa curiga dengan usaha menstrukturkan semula perbandaran atas nama Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) dengan matlamat mengubah demografi politik amatlah merbahaya kepada kaum Bumiputera seolah-olah mengulangi nasib orang Melayu di Pulau Temasik!

Kerajaan PMX ini gagal memartabatkan Bahasa Melayu, malah menganaktirikan negeri-negeri jantung hati orang Melayu (Kawasan Malay Belt). PMX kelihatan begitu menjaga kaum minoriti yang mendokong kuat mereka; sebagai contoh, limpahan RM40 billion kepada Pulau Pinang, manakala royalti Terengganu tidak sebagaimana janji. Contoh lain bantuan RM20 juta kepada sekolah-sekolah persendirian Cina di negara ini.

Dekadensi moral juga makin membuncah. 40 konsert besar terus digalangi pada tahun 2025 termasuk kumpulan penghibur penyokong LGBTQ seperti My Chemical Romance tanpa menghiraukan impak-impak negatif kepada generasi muda.

Konsert Pink Fish baru-baru ini telah mengorbankan empat jiwa. Anak-anak kampus juga cenderung kepada budaya hedonisme, ketimbang budaya intelektual di zaman edan PMX ini.

Wahai rakyat Malaysia yang pernah membuat kesilapan dalam memilih pemimpin dan parti seperti PMX, pakar orator yang terkenal dengan sihiran kata-kata muluk sejak zaman kampus. Saya menyeru rakyat Malaysia terutamanya ahli-ahli NGO berbasis Islam, kalian masih ada secubit peluang untuk membaiki tanah air ini. Pada hari Sabtu 26 Julai, marilah kita pakat berhimpun di Dataran Merdeka, jam 2.00 petang. Insya-Allah, tiada acara berguling di atas jalan raya, tiada kenderaan polis yang akan dirosakkan atau aset Jabatan Bomba yang akan dipecahkan juga tiada tayar yang akan dibakar.

Kita bakal hadir dengan sebanjaran tekad untuk memberikan amaran kepada regim kleptokrat, segera menunaikan janji atau PMX segera dilungsurkan.

Himpunan ini melibatkan semua kaum, bervariasi strata umur, pelbagai latar belakang pendidikan serta sosio ekonomi.

Kita bakal hadir sebagai rakyat yang cinta dan peduli kepada pertiwi kita. Kita tidak akan membiarkan tanah leluhur ini dirosakkan oleh PMX serta rejim ketimbang. Cukuplah dua tahun lapan bulan kita menyaksikan kebobrokan dan kebejatan cara urus negara yang tempang ini. Khalas!!

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 18/7/2025

- Advertisement -