
KUALA LUMPUR: Lajnah Hubungan Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Syria, Damsyik, baru-baru ini.
Pengerusinya, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, tindakan barbarik itu merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan sesebuah negara, serta mencabuli undang-undang antarabangsa.
Ia katanya termasuk pelanggaran terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Konvensyen Geneva yang melindungi orang awam dalam konflik bersenjata.
“Serangan ini bukan sahaja meragut nyawa orang awam yang tidak berdosa dan memusnahkan infrastruktur awam penting, malah turut mengancam kestabilan rantau Asia Barat secara keseluruhan.
“Ia membuktikan betapa angkuh dan tidak berperikemanusiaannya rejim Zionis Israel yang terus bertindak sesuka hati tanpa menghormati undang-undang, sempadan negara berdaulat, atau nilai asas hak asasi manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Tumpat itu berkata, meskipun Syria masih bergelut untuk bangkit daripada konflik yang berpanjangan, negara itu telah menunjukkan komitmen terhadap rundingan damai dan pemulihan nasional.
Namun jelasnya, pendekatan lunak itu jelas tidak mendapat balasan setimpal daripada rejim Israel yang terus membalas dengan keganasan dan penghinaan terhadap prinsip-prinsip diplomasi dan keamanan antarabangsa.
“Adalah satu tragedi besar apabila usaha dialog dan rundingan diplomatik ditanggapi dengan serangan bersenjata.
“(Ia) seolah-olah nilai kemanusiaan tidak wujud dalam pertimbangan rejim Zionis yang bertindak sewenang-wenangnya kerana mereka dilindungi dan berada di luar jangkauan apa sahaja undang-undang dunia dan antarabangsa,” tempelaknya.
Sehubungan itu, Muslimat PAS katanya menyeru seluruh komuniti antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan PBB agar mengambil tindakan tegas, konkrit dan menyeluruh terhadap rejim Israel.
”Kegagalan untuk mengecam dan menghukum tindakan ini hanya akan mengukuhkan budaya impunitas dan mengheret dunia ke arah kemelut kemanusiaan yang lebih parah.
“Muslimat Pas menegaskan solidariti sepenuhnya bersama rakyat Syria serta semua mangsa kekejaman Zionis di seluruh dunia.
“Kami juga akan terus komited memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan di pentas antarabangsa, tanpa gentar atau tunduk kepada kuasa zalim.
“Sesungguhnya kezaliman tidak akan kekal. Doa rakyat yang tertindas akan diangkat oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2025











