DXN bantu tingkat ekonomi, peluang pekerjaan di Kedah

- Advertisement -

CYBERJAYA: DXN Holdings Berhad terus membuktikan komitmennya dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri Kedah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Invest Kedah Berhad dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di DXN Cyberville di sini, kelmarin.

- Advertisement -

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan syarikat berkenaan sebagai antara penyumbang utama dalam pembangunan rantaian bekalan dan penyediaan peluang pekerjaan untuk rakyat Kedah.

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang perniagaan dan pekerjaan kepada komuniti setempat, malah turut menyumbang kepada pemuliharaan ekosistem marin dan pendidikan alam,” katanya.

Beliau merujuk kepada kejayaan DXN yang kini mengendalikan operasi Hatchery Ikan di Pulau Tuba, Langkawi sejak Mac 2024.

Projek tersebut ujarnya, melibatkan kawasan melebihi satu hektar itu memiliki kapasiti membiak sehingga 480,000 ekor ikan merangkumi spesies bernilai tinggi.

Dalam ucapan beliau, Muhammad Sanusi turut berkata, DXN kini sedang melaksanakan langkah-langkah strategik melalui pemeteraian MoU tersebut yang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian bernilai tinggi, ekopelancongan mampan serta pembangunan akuakultur di Langkawi.

“Kerjasama ini adalah selaras dengan aspirasi Plan Kedah 2035 dan gagasan The Greater Kedah 2050 yang menekankan pembangunan yang inklusif, mampan dan berdaya saing,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, keberadaan DXN di negeri ini telah memberi kesan berganda kepada ekonomi melalui penciptaan peluang pekerjaan dan pelaksanaan latihan kemahiran kepada rakyat tempatan.

“Sumbangan DXN memberikan kesan penggandaan yang besar kepada ekonomi melalui peluang pekerjaan dan latihan kemahiran rakyat tempatan,” jelasnya.

Malah, beliau optimis kerjasama strategik yang dimeterai ini mampu menjadi penanda aras kepada syarikat-syarikat lain dalam menyeimbangkan antara kejayaan komersial dan tanggungjawab sosial.

“Kerjasama ini akan menjadi model kepada syarikat-syarikat lain bahawa kejayaan komersial boleh digandingkan dengan tanggungjawab sosial dan pembangunan negeri,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap masa depan Kedah yang lebih cerah dengan sokongan sektor swasta yang komited dan berpandangan jauh.

“Dengan sokongan berterusan daripada sektor swasta yang berwawasan seperti DXN, saya yakin Kedah akan terus melangkah ke depan sebagai sebuah negeri yang moden, mampan dan berdaya saing,” ucapnya lagi.

Pemeteraian MoU antara DXN Holdings Berhad dan Invest Kedah Berhad merupakan langkah awal kepada kerjasama strategik kedua-dua pihak dalam meneroka potensi pelaburan dan pembangunan mampan, khususnya dalam sektor pertanian negeri Kedah.

Dalam majlis yang sama, DXN turut menyampaikan cek sumbangan melalui Pengasas dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Lim Siow Jin bagi menyokong agenda pendidikan dan pembangunan kemahiran anak-anak negeri Kedah.

Sumbangan tersebut merangkumi RM1 juta untuk program Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah, RM600,000 bagi program Latihan dan Persijilan Profesional Digital dan Teknologi Kedah serta RM400,000 untuk Program Tuisyen Rakyat Kedah Sejahtera.

Majlis turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah serta Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah, Dato’ Mohamad Arof Darus.

Juga Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Othman Deris dan Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah Berhad, Noor Ikhsan Abdul Aziz serta barisan kepimpinan tertinggi DXN Holdings Berhad termasuk Ketua Pegawai Operasi, Mahmood Hisham; Ketua Pegawai Kewangan, Lim Beng Cheng dan Ahli Lembaga Pengarah, Dato Noripah Kamsoo. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -