
KANGAR: Kelab bola sepak tempatan, Perlis GSA FC, kini melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan bola sepak mereka apabila berjaya menempah slot beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro Malaysia 2025/2026, satu pencapaian yang cukup membanggakan buat bola sepak negeri Perlis.
Menyertai liga semi-profesional berprestij ini buat kali pertama, Perlis GSA FC dijadualkan membuka kempen musim baharu menentang pasukan berpengalaman, Kedah FA, pada 2 Ogos 2025 (Sabtu), jam 8.45 malam di Stadium Tuanku Syed Putra (STSP), Kangar.
Perlawanan sulung ini bukan sekadar permulaan musim, malah menjadi detik bersejarah buat Perlis GSA FC yang kini bersedia mengangkat martabat bola sepak negeri ke peringkat lebih kompetitif.
Pengurus Perlis GSA FC, Amar Rohidan menyatakan bahawa persiapan pasukan kini berada di tahap optimum dan para pemain sangat bersemangat untuk mencipta impak awal dalam liga.
“Kami membawa semangat rakyat Perlis ke dalam padang. Penampilan sulung dalam Liga A1 ini adalah penghormatan dan juga cabaran besar buat pasukan. Kami mohon seluruh penyokong hadir memberikan sokongan padu di STSP,” ujar beliau.
Naib Presiden Kelab, Mohd Azrul Abu Hassan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perjalanan Perlis GSA FC sehingga ke tahap ini, termasuk barisan kejurulatihan, pemain, penaja serta komuniti setempat.
“Liga A1 Semi-Pro menjadi medan penting untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat tempatan ke tahap profesional, sekali gus membuka peluang lebih besar buat kelab-kelab negeri seperti Perlis GSA FC membina nama dalam dunia bola sepak Malaysia,” kata beliau.
Beliau menyeru rakyat Perlis hadir beramai-ramai ke Stadium Tuanku Syed Putra pada 2 Ogos ini untuk bersama-sama mencipta sejarah baharu untuk menunjukkan semangat dan sokongan anda kepada skuad GSA dalam perjuangan sulung mereka di Liga A1.
Terdahulu Perlis GSA FC yang dahulunya dikenali sebagai GSA FC telah membuat penjenamaan semula selaras dengan usaha kelab untuk membawa nama Perlis ke peringkat lebih tinggi dalam saingan bola sepak.
Penjenamaan semula ini juga termasuk pengenalan logo baharu di mana melambangkan era baru dan hala tuju masa depan kelab tetapi masih mengekalkan identiti asal kelab yang berasal dari Guar Syed Alwi itu.
GSA FC muncul sebagai Juara dalam Liga A2 Amateur Al Ikhsan Cup 2024 menewaskan Kelantan WTS FC dengan keputusan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat jaringan 2-2 pada akhir perlawanan. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











