
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir pendekatan reformasi yang kononnya didukung kerajaan kini, sambil mempersoalkan pelbagai isu membabitkan institusi kehakiman, hak asasi dan kebebasan bersuara di negara ini.
Menurutnya, negara kini berdepan kekosongan dalam sistem kehakiman termasuk tiada Ketua Hakim serta 30 kekosongan jawatan hakim yang belum diisi.
“Negara tidak berketua hakim. Negara akan kekosongan tiga puluh hakim. Apa sudah jadi. Tak pernah ini berlaku,” ujarnya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Beliau turut menyentuh isu kebocoran dokumen, di mana menurutnya menimbulkan persoalan apabila tindakan diambil terhadap individu yang membocorkannya, walaupun ia dikatakan tidak benar.
“Konon ada kebocoran. Konon yang bocor tidak betul. Kalau tidak betul kenapa nak bertindak kepada pembocor. Kut betul kut? Macam-macam tuduhan dibuat. Campur tanganlah, dan sebagainya. Betulkah? Tengok tangan sendiri. Kotor atau tidak,” sindir beliau.
Beliau turut mempersoalkan larangan bersuara berkaitan pelbagai isu yang kini menjadi bahan politik termasuk pemilihan hakim, dokumen tambahan (addendum), dan pemilikan saham syarikat.
“Hey, jangan politikkan pilihan hakim kita disuruh. Jangan politikkan adendum. Jangan politikan ‘share’ MAHB. Jangan cakap berkenaan 3R. Jangan, jangan, jangan.
“Lekat plaster di mulut. Cucuk hidung, pasang tali heret ikut suka hati. Ini sebahagian dari reformasi,” katanya sinis.
Beliau turut menyatakan rampasan harta dan penahanan tanpa pertuduhan turut dijadikan sebahagian daripada apa yang dinamakan sebagai reformasi.
“Bukan sahaja undang-undang tidak diendah, bercakap pun tak boleh. Tak pun di dewan bercakap (Parlimen). Digantung tanpa tali.
“Wow!! Reformasi memang ‘great’, jeritlah reformasi,” katanya penuh sinis. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











