
PADANG TERAP: Pertubuhan Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) bakal menganjurkan Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia Kali Ke-6 (HEBAT 6.0) yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos ini di Tasik Timah Tasoh, Perlis.
Pengarah Cawangan Negeri Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid berkata, himpunan kali ini merupakan kesinambungan program tahunan yang menghimpunkan para petugas bencana dari seluruh negara dalam satu medan latihan dan pemantapan semangat kesukarelawanan.
“Objektif utama HEBAT 6.0 ialah untuk mengumpulkan tenaga petugas bantuan bencana, mempersiapkan mereka menghadapi sebarang kemungkinan bencana, menyeragamkan prosedur operasi standard (SOP) serta menguji kesiapsiagaan pasukan pada tahap ekstrem,” jelasnya kepada Harakahdaily, semalam.
Ujarnya, antara pengisian menarik yang bakal diadakan sepanjang program termasuk latihan ikhtiar hidup, water rescue, khidmat masyarakat dan kenduri rakyat yang dijangka melibatkan penyertaan petugas serta komuniti setempat.
Program bakal berlangsung selama tiga hari dua malam ini menyasarkan penyertaan daripada pelbagai komponen Khidmat Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam kerja-kerja kebajikan dan bantuan bencana.
“Antara yang dijangka hadir termasuk Ahli Lembaga Pengarah Khidmat Malaysia Pusat bersama Setiausaha negeri-negeri yang diwajibkan hadir, serta wakil daripada setiap negeri seramai 11 orang, melibatkan lapan lelaki dan tiga perempuan.
“Turut serta ialah wakil dari Sabah dan Sarawak seramai empat orang, wakil dari kawasan Perlis sendiri seramai lapan orang (lima lelaki dan tiga perempuan), selain pasukan khas dari Jabatan Amal Malaysia Pusat dan Briged Muslimat Malaysia, masing-masing seramai lapan orang.
“Selain itu, beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga turut dijangka menyertai himpunan ini termasuk Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Pertubuhan Amal Kebajikan dan Perubatan Malaysia (MediCOM), Yayasan Amal dan Muslim Care, masing-masing menghantar dua orang wakil,” jelas Ustaz Nurul Amin.
Menurutnya lagi, pemilihan Perlis sebagai tuan rumah adalah berdasarkan giliran negeri-negeri setelah Kedah menjadi tuan rumah HEBAT 4.0 dan Pahang bagi HEBAT 5.0. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











