
KUALA LUMPUR: Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil menyelar tindakan penyokong dan pimpinan akar umbi PKR yang melaporkan kepada polis berhubung Himpunan Turun Anwar (HTA) yang dijadual berlangsung pada 26 Julai ini.
Beliau mempersoalkan bagaimana parti yang lahir dari semangat demonstrasi rakyat kini bertindak seperti menolak hak untuk berhimpun secara aman, seolah-olah sudah lupa asal-usul perjuangan mereka.
“Perhimpunan Turun Anwar yang dirancang berlangsung pada 26 Julai telah mengundang reaksi keras dan melatah daripada penyokong serta pimpinan akar umbi PKR.
“Laporan polis demi laporan polis dibuat, bukan oleh pihak kerajaan, tetapi oleh mereka yang pernah satu masa dahulu menjadikan demonstrasi sebagai denyut nadi perjuangan.
“Anehnya, yang dulu melaungkan ‘lawan tetap lawan’ kini menjerit ‘hasutan, hasutan!’ sambil menggenggam akta demi akta. Apakah yang sedang berlaku kepada PKR?
“Parti yang lahir dari jalanan, dari kebangkitan rakyat yang menuntut keadilan, kini seakan lupa dari rahim mana mereka dilahirkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan sama ada pemimpin PKR hari ini benar-benar tidak memahami prinsip demokrasi atau sengaja menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
“Apakah mereka benar-benar tidak faham atau buat-buat tidak faham bahawa tunjuk perasaan adalah hak rakyat dalam sistem demokrasi?
“Adakah kerana mereka yang dahulunya berjuang demi keadilan telah ramai meninggalkan PKR dan diganti oleh mereka yang lahir ketika PKR sudah selesa di puncak kuasa?” katanya.
Tambah beliau, dakwaan seorang pemimpin cabang PKR bahawa promosi himpunan oleh portal Harakahdaily adalah satu bentuk hasutan juga menunjukkan kejumudan politik yang membimbangkan.
“Lebih membingungkan apabila seorang pemimpin cabang PKR mendakwa bahawa promosi himpunan oleh portal Harakahdaily adalah satu bentuk hasutan dan ancaman kepada demokrasi berparlimen.
“Satu dakwaan yang bukan sahaja tidak logik tetapi turut membuktikan bahawa semangat reformasi yang mereka canang selama ini sudah berkubur.
“Mereka seolah-olah lupa bahawa reformasi itu sendiri adalah tindakan menuntut perubahan melalui tekanan awam termasuk demonstrasi dan himpunan aman,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa pemimpin dan penyokong PKR sendiri pernah menjadi antara penggerak utama demonstrasi besar-besaran suatu ketika dahulu, namun kini bertindak mengekang hak rakyat yang sama.
“Sudah lupakah bahawa mereka jugalah yang terlibat sama menggerakkan massa untuk menurunkan lautan rakyat ke jalan raya? Hari ini mereka meminta pihak polis menutup Dataran Merdeka daripada rakyat yang mahu berhimpun secara aman.
“Di mana prinsipnya? Di mana keberanian anak muda reformis yang dulu? Sebagaimana disebut oleh Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad, PKR ini lahir daripada perut jalan raya, bukan lahir di bilik mesyuarat atau bilik menteri.
“Tapi kini, mereka lebih takut kepada suara rakyat daripada gas pemedih mata yang dulu mereka anggap sebagai ‘minyak wangi perjuangan’. Ironi yang memalukan, sangat memalukan!” katanya.
Khairul Faizi menegaskan bahawa Himpunan Turun Anwar bukan bertujuan mencetuskan rusuhan, tetapi merupakan luahan rasa kecewa rakyat terhadap kegagalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menunaikan janji reformasi.
“Jika benar PKR yakin berada di pihak yang betul, biarlah rakyat berhimpun. Hujah dilawan dengan hujah, bukan dengan laporan polis. Rakyat bukan lagi bodoh. Mereka tahu beza antara protes aman dengan hasutan. Rakyat juga tidak buta sejarah.
“Mereka tahu siapa yang pernah menjerit ‘tugas kita adalah untuk menghasut rakyat’, maka jangan hipokrit bila peranan itu kini dimainkan oleh orang lain. Kepada penyokong PKR, ingatlah bahawa ‘Reformasi’ bukan sekadar slogan.
“Ia adalah tanggungjawab untuk terus menjunjung hak rakyat bersuara, walaupun suara itu tidak memuji Perdana Menteri kesayangan anda. Tidaklah salah jika PKR dilihat seperti kacang lupakan kulit,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua PKR Putrajaya, Shariff Jeev membuat laporan polis terhadap Harakahdaily berhubung satu artikel yang didakwa berunsur hasutan kerana mempromosikan satu protes terhadap Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan PKR Putrajaya, Noor Arizam pula, mendesak perhimpunan itu diadakan di lokasi lain selain Dataran Merdeka bagi mengelakkan ia ‘menjadi di luar kawalan’.
Namun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa, tugas polis adalah untuk memastikan setiap perhimpunan dikendalikan dengan profesional.
“Himpunan itu telahpun dihebahkan dan dalam keadaan itu, Mahkamah Persekutuan juga telah membuat keputusan bahawa penganjur tak perlu beritahu kepada polis.
“Jadi kita tak bolehlah mengatasi keputusan Mahkamah Persekutuan, namun polis tetap bertanggungjawab memastikan keselamatan awam terjamin,” katanya.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang memutuskan penganjur tidak lagi diwajib memaklumkan kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan.
Kerajaan telah menegaskan tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta iaitu tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak dibenarkan membawa kanak-kanak.
Difahamkan, lebih 300,000 orang dari seluruh negara akan hadir pada himpunan itu sebagai manifestasi rakyat untuk selamatkan negara yang kini dihimpit pelbagai masalah. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











