PAS Wilayah komited bela nasib warga Kg Sg Baru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menzahirkan komitmen untuk terus bersama penduduk Kampung Sungai Baru dalam usaha mempertahankan kediaman dan tanah mereka daripada terus dirampas oleh pihak pemaju.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Abdul Razak Ramli berkata, ia rentetan daripada perobohan yang dijadualkan pada 16 Julai, susulan writ Mahkamah Tinggi bertarikh 2 Julai 2025 yang mengarahkan seluruh penduduk mengosongkan kediaman mereka.

“Para penduduk Kampung Sungai Baru telah bersama dengan pelbagai pihak khususnya PAS di Wilayah Persekutuan untuk sama-sama turun ke lapangan menjadi benteng manusia yang menghalang daripada perobohan berlaku.

“Walaupun usaha penduduk ini berjalan dengan aman dan damai. Namun, wujud usaha provokasi dari pihak yang tidak dapat dikenal pasti yang telah membakar peralatan di salah sebuah rumah teres tersebut ketika para penduduk sedang berhadapan dengan pihak mahkamah di lapangan,” katanya menerusi kenyataan itu.

Pihaknya turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan pemaju yang gagal menghantar wakil untuk berbincang dengan para penduduk, sebaliknya menghantar ratusan pekerja warga Bangladesh berpakaian hitam bagi mengosongkan kediaman mereka.

“Kehadiran pihak polis juga menyedihkan kami apabila mereka seolah-olah menjadi wakil bagi pihak pemaju untuk berhadapan dengan penduduk. Sepatutnya pihak polis menjadi orang tengah yang menjaga keamanan penduduk dan mengawal keselamatan ketika keadaan sedang tegang.

“Pihak media dan pempengaruh juga terhalang daripada membuat sebarang liputan lintas langsung suasana pada hari itu apabila dipercayai telah wujud ‘jammer’ yang menyekat capaian internet ketika siarang langsung sedang dibuat.

“Akhirnya, setelah berhempas pulas mempertahankan tanah-tanah mereka daripada dirampas oleh pemaju. Penduduk diberi ruang sehingga 24 Julai sahaja untuk tetap mengosongkan rumah-rumah mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, insiden itu merupakan satu pengkhianatan terhadap prinsip perjuangan yang dilaungkan pemimpin negara yang kononnya membela Melayu dan Islam, namun gagal bertindak ketika penduduk Melayu Islam sendiri ditindas.

“PAS di Wilayah Persekutuan berikrar akan terus bersama penduduk Kampung Sungai Baru bagi membela rumah-rumah dan tanah mereka daripada menjadi ratahan pemaju yang biadap tersebut,” katanya.

Semalam, Himpunan Pertahan Tanah Melayu ‘Selamatkan Kampung Sungai Baru’ telah diadakan oleh para penduduk sebagai usaha mempertahankan hak mereka serta mengecam kegagalan kerajaan menangani isu tersebut. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -