
KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat adalah satu kedudukan jawatan yang mulia dan mesti dipelihara dengan prinsip ketelusan serta keadilan, bukannya menjadi alat kepada kepentingan politik tertentu.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pemerhatian terhadap pendekatan Speaker di Dewan Rakyat hari ini menunjukkan terdapat tiga kategori Speaker yang boleh dikenal pasti.
“Pertama, Speaker yang baik. Mereka ini menjaga kemuliaan institusi Speaker, tidak memihak kepada mana-mana parti, dan dihormati oleh kawan dan lawan. Kedua, Speaker yang buruk.
“Kedua, Speaker yang buruk. Mereka ini tidak sedar bahawa kerusi Speaker itu adalah kerusi mulia yang non-partisan, dan tidak pandai menjaga keadilan dalam mengendalikan sidang.
“Ketiga, Speaker yang teruk. Mereka ini dilantik atas sebab kronisme, dan mengurus sidang atas dasar nepotisme,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, Speaker jenis ketiga itu tidak dihormati pihak lawan kerana sifatnya tidak adil, manakala pihak kawan juga tidak menghormatinya kerana menyedari bahawa Speaker sebegitu hanyalah boneka mudah dipengaruhi.
“Paling teruk, mereka terlalu banyak berlakon macam bagus sehingga mereka ‘terpercaya’ dengan lakonan diri sendiri dan mereka tak sedar bila mereka bercakap sebenarnya orang bukan hormat pun.
“Speaker jenis ketiga ini gagal menunaikan tanggungjawab kepada negara dan setiap kali bercakap hanya merosakkan imej parlimen. Mereka suka mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan mereka masih partisan.
“Walaupun sebagai Speaker sepatutnya neutral dan tidak berparti. Speaker jenis ketiga ini tak sedar yang sebahagian orang merasakan bahawa tak ada guna bercakap atau memberi pandangan kalau perangai Speaker macam ni,” katanya.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mendakwa terdapat tiga jenis ahli parlimen iaitu baik, buruk dan teruk, sambil menegur segelintir yang tidak hadir persidangan tetapi lantang bersuara di luar.
“Yang baik ialah mereka yang beri segala jenis idea, yang solid dan praktikal. Yang buruk pula asyik merungut, apa sahaja yang kita kata pasti dia mahu bantah. Tapi yang paling teruk ialah mereka yang tidak datang ke Parlimen.
“Mereka selalu tiada, tetapi di luar merekalah kononnya pemimpin. Tidak pergi Parlimen tetapi buat banyak bising, keluarkan macam-macam kenyataan lucu yang akhirnya memusnahkan keharmonian negara,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











