Sungai tercemar akibat loji bocor, di mana KPKT?

PN Melaka ingatkan tragedi Sungai Kim Kim

- Advertisement -

AYER KEROH: Bakri Jamaluddin mendedahkan bahawa pencemaran Sungai Air Batu berhampiran Kampung Paya Rumput, Sungai Udang disahkan berpunca daripada kebocoran Loji Rawatan Sisa Enap Cemar (LTP) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu itu berkata, pengakuan itu dibuat sendiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin dalam laporan Sinar Harian bertarikh 16 Julai lalu.

“Rais menyatakan hasil siasatan mendapati loji berkenaan telah melebihi kapasiti maksimum, sekali gus menyumbang kepada pencemaran sungai tersebut,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Melaka satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, penjelasan terbaharu itu bercanggah dengan laporan Berita Harian pada 10 Julai lalu, apabila Jabatan Ketua Menteri Melaka memetik kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka yang menafikan sebarang pelepasan air larut resapan dari LTP selepas pemeriksaan serta-merta dilakukan.

Bakri berkata, beliau telah membangkitkan isu itu seawal Mac 2023 ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat dan meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi perhatian terhadap situasi terlebih beban di loji terbabit.

“Dalam perbahasan itu saya menyatakan bahawa loji tersebut sudah terlebih beban di mana sisa pepejal yang diterima adalah sebanyak 1,040 tan sebulan sedangkan kapasiti maksimumnya hanya 900 tan sebulan pada ketika itu.

“Saya dalam perbahasan yang sama juga turut menyatakan bahawa loji pemprosesan licik berkapasiti 320 meter padu sahaja berbanding volum yang ada sekitar 400 meter padu pada waktu itu.

“Pencemaran Sungai Air Batu yang berlaku baru-baru ini telah membuktikan bahawa situasi terlebih beban di LTP Sungai Udang sudah benar-benar menatijahkan kesan buruk yang sangat dibimbangi sebelum ini.

“Kejadian ini telah menjejaskan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan persisir sungai tersebut dan mereka yang menjadikan sungai tersebut sebagai mata pencarian atau sebagai sumber air untuk pertanian,” jelas Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa KPKT menyegerakan pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator di tapak pelupusan tersebut yang tertangguh daripada tarikh asal siap pada 2026 kepada 2029.

“Kita tidak mahu ada lagi berlaku sebarang penangguhan atau kelewatan atas alasan apa sekali pun sehingga menyebabkan rakyat terus hidup dalam keadaan tidak selesa akibat pencemaran ini.

“Jangan sampai berlaku kejadian yang boleh menggugat kesihatan dan nyawa rakyat seperti yang berlaku pada ‘Tragedi Sungai Kim Kim’ baru tindakan segera dan pantas diambil kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -