Himpunan Nasional untuk Gaza 9 Ogos ini anjuran H4G

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Humanity for Gaza (H4G) menzahirkan rasa dukacita terhadap krisis kemanusiaan semakin parah di Gaza susulan serangan berterusan rejim Zionis yang telah mengorbankan ratusan nyawa tidak berdosa serta memusnahkan infrastruktur asas di wilayah berkenaan.

- Advertisement -

Pengarah Himpunan H4G, Dato’ Mohd Apandi Mohamad berkata, Gaza kini dilihat sebagai wilayah yang diratah kezaliman selepas hospital, sekolah dan sistem bekalan air turut menjadi sasaran keganasan.

“Ratusan ribu rakyat Palestin hilang tempat tinggal. Serangan yang tidak berperikemanusiaan ini terus mencederakan ribuan lagi serta menghancurkan keperluan asas mereka.

“Sebagai sebuah gabungan kemanusiaan rentas institusi dan pertubuhan, H4G akan terus memainkan peranan dalam menyelaras bantuan dan menyampaikan suara nurani rakyat Malaysia kepada masyarakat antarabangsa,” katanya menerusi sidang media yang berlangsung di WP Hotel, di sini.

Menurutnya, melalui jaringan kerjasama global, H4G kini giat menyampaikan bantuan kecemasan merangkumi makanan, ubat-ubatan, air bersih serta kelengkapan perlindungan diri kepada penduduk Gaza.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan individu (NGO/NGI), tokoh masyarakat, institusi agama dan parti politik supaya mengenepikan perbezaan dan bersatu atas dasar kemanusiaan.

“Isu Palestin bukan soal bangsa atau agama semata-mata, sebaliknya ujian terhadap nilai keinsanan sejagat.

“Kami yakin penyatuan suara dan tindakan rakyat Malaysia akan menjadi isyarat jelas kepada dunia bahawa kita tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman dan terus mendesak gencatan senjata serta pembukaan koridor kemanusiaan,” katanya.

Sehubungan itu, H4G mengumumkan penganjuran Himpunan Perdana Negara: Solidariti Nasional ‘Malaysia Bangkit Untuk Gaza’ (MR4G) yang bakal diadakan pada Sabtu, 9 Ogos 2025 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bermula jam 4.00 petang hingga 11.00 malam.

Mohd Apandi berkata, himpunan itu bakal menghimpunkan tokoh antarabangsa, pemimpin rantau Asia, pertubuhan masyarakat serta rakyat Malaysia bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Palestin.

“Semoga himpunan ini menjadi saksi bahawa umat Islam dan rakyat Malaysia tidak akan berpaling daripada perjuangan membebaskan al-Quds serta menyokong saudara-saudara kita di Gaza,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -