SPM: TRS bantu pelajar B40 seluruh DUN Kelantan

- Advertisement -

TUMPAT: Seramai 60 pelajar sekitar kawasan ini menyertai sesi Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) DUN Pengkalan Kubor sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

- Advertisement -

Program itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dalam satu majlis di Wisma Imtiyaz, petang semalam.

TRS kini memasuki tahun kedua pelaksanaannya bukan sahaja di DUN Pengkalan Kubor, malah turut dijalankan di kesemua 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kelantan.

Inisiatif ini dilaksanakan di bawah dasar “Penghayatan Membangun Bersama Islam” (PMBI) Kerajaan Negeri Kelantan, yang menekankan pendidikan holistik, kesaksamaan akses ilmu dan pembangunan modal insan berteraskan nilai Islam.

Antara subjek utama yang ditawarkan menerusi TRS ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik.

Program ini disasarkan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40), bertujuan membantu mereka menguasai subjek-subjek teras dan mencapai keputusan cemerlang dalam SPM.

Pelaksanaan serentak TRS di seluruh negeri juga bagi menutup jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar, menerusi sokongan akademik percuma kepada pelajar yang memerlukan.

“Kerajaan Negeri Kelantan beriltizam untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga unggul dari segi sahsiah – sebagai pewaris kepimpinan ummah masa hadapan,” ujar Dato’ Wan Roslan.

Beliau turut menzahirkan harapan agar TRS terus menjadi medium keberkatan dan kejayaan buat anak-anak Kelantan. – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -