
JERLUN: Program i-PULIH Integrasi Sosial anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Kedah di Kampung Jeruju, di sini mendapat suntikan semangat istimewa apabila dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim.
Program berkenaan merupakan sebahagian daripada pendekatan Model i-PULIH yang dilaksanakan AADK bagi memperkukuh proses pemulihan dalam komuniti, khususnya terhadap klien yang sedang menjalani rawatan.
Beliau juga Yang Dipertua PAS Kawasan Jerlun berkata,
menerusi pendekatan holistik berteraskan biopsikososial-spiritual, program ini memberi tumpuan kepada keseimbangan aspek biologi, psikologi, sosial dan kerohanian pelanggan, ke arah kehidupan lebih stabil dan bermakna.
Dalam ucapannya, Azhar menyeru para peserta agar terus berusaha memperbaiki diri, sambil memberi motivasi dengan nada penuh harapan dan empati.
“Niat nak berubah pun dah dapat pahala, walaupun belum berubah sepenuhnya. Kalau dapat berubah, lagi besar pahalanya,” ujar beliau, yang turut meluangkan masa berinteraksi mesra dengan pelanggan.
Pihak AADK turut menyambut baik kehadiran beliau dan menyifatkannya sebagai sejarah tersendiri, kerana inilah kali pertama seorang wakil rakyat terlibat secara langsung dalam program mereka.
Penglibatan pimpinan masyarakat seperti ini ujar mereka, mampu memperkukuh keyakinan pelanggan, mengurangkan stigma serta menggalakkan sokongan padu dari keluarga dan komuniti terhadap proses pemulihan.
Program i-PULIH turut menggariskan matlamat untuk membantu pelanggan berfungsi semula secara positif dalam masyarakat, selain meningkatkan sokongan sosial dan keyakinan diri melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan rekreasi. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











