
NARATHIWAT: Hubungan serantau antara Terengganu dan selatan Thailand diperkukuh menerusi penganjuran program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu 2025 SG4 yang berlangsung di sini baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu mendapat sambutan hangat daripada kepimpinan dan komuniti setempat yang diketuai Timbalan Gabenor Narathiwat, Kritsananan Kamrai, Datuk Bandar Narathiwat, Ruslan Arong serta beberapa pemimpin lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program berkenaan membuka ruang kerjasama lebih meluas dalam bidang pelancongan dan kebudayaan antara kedua-dua wilayah.
“Jelajah ini menjadi medan terbaik untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, bukan sahaja dalam konteks promosi destinasi, tetapi juga dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti dan warisan budaya serumpun.
“Terengganu dan Narathiwat berkongsi banyak persamaan dari aspek warisan, bahasa, makanan dan budaya. Ini asas kukuh untuk kita bangunkan pelancongan secara bersama,” katanya kepada pemberita selepas majlis di Restoran Akhoor By Nasir di sini baru-baru ini.
Razali berkata, konsep pelancongan masa kini bukan hanya kepada destinasi semata-mata ia perlu memberi fokus kepada pengalaman budaya, interaksi bersama komuniti setempat dan pertukaran nilai lokal.
“Sebelum ini, delegasi Narathiwat telah turut serta dalam Pelancaran Musim Mencandat Sotong Terengganu 2025 dan kini kami menjemput mereka Karnival Pantai Terengganu yang dijadual berlangsung Ogos nanti.
“Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Terengganu akan menyertai acara pelancongan dan kebudayaan di Narathiwat sepanjang tahun ini sebagai tanda sokongan dan komitmen terhadap diplomasi pelancongan serantau.
“Insya-Allah, era baharu ini akan menyaksikan lebih banyak peluang untuk usahawan tempatan, penggiat seni dan masyarakat kedua-dua wilayah meraih manfaat langsung daripada pembangunan sektor ini,” ujarnya.
Untuk rekod, program Jelajah Silang Budaya Beautiful Terengganu SG4 2025 sebelum ini telah dianjurkan di Kelantan, Perlis dan Kedah.
Narathiwat menjadi lokasi pertama di luar negara, sekali gus melakar sejarah baharu dalam penganjuran program berkenaan. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











