
KANGAR: Taman Buah-buahan Eksotik, Sungai Batu Pahat meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung sempena Pesta Makanan Tradisional Perlis (MANTAPs) dan Wang Gunung Trail Run 3.0 yang berlangsung selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Julai.
Program dianjurkan Jabatan Pertanian Negeri Perlis dengan kerjasama pihak berkuasa Kemajuan Perkebun Kecil dan Perusahan Getah (RISDA) Negeri Perlis.
Ia telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Razali Saad.
Beliau disambut oleh Pengarah Pertanian Negeri, Hafizuddin Othman dan ketua agensi-agensi yang terlibat dengan majlis turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan.
Antara tarikan utama ialah pertandingan makanan tradisional yang mengetengahkan lebih 80 menu warisan, persembahan kebudayaan, cabutan bertuah, aktiviti keluarga serta larian lasak Wang Gunung Trail 3.0.
Penganjuran program ini bukan sahaja menghidupkan semula budaya dan warisan makanan tradisi, malah turut meningkatkan ekonomi usahawan tempatan melalui jualan makanan dan kraftangan.
Ia juga menjadi platform promosi agro pelancongan negeri, khususnya Taman Buah-buahan Eksotik yang menjadi lokasi acara.
Terdahulu Wang Gunung Trail Run 2.0 berlangsung selama dua hari pada Ogos tahun lepas melibatkan 700 peserta jarak larian sejauh 60 kilometer, 30 kilometer, 15 kilometer dan lima kilometer di sepanjang Banjaran Nakawan.
Program itu bersempena Perlis Outdoor Festival 2024 yang juga mendapat penglibatan begitu memberangsangkan dari peserta dalam dan luar negara terutamanya Thailand dan Singapura. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











