
KUALA TERENGGANU: Terengganu Skills Development Centre Berhad (Terengganu Skills) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Malaysia Rail Link Development Centre (MRDC) dan Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan serta memperluas program latihan kemahiran di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Skills, Mohd Rashdan Muda berkata, kerjasama dengan MRDC memberi peluang kepada pelajar mengikuti latihan industri selama satu hingga tiga bulan.
“Inisiatif ini merangkumi pembelajaran dan latihan praktikal di lapangan,” katanya ketika ditemui media di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Bagi kerjasama dengan Sabasun HyperRuncit, Mohd Rashdan berkata, ia merangkumi tiga aspek utama, termasuk menyediakan saguhati kepada pelajar asnaf yang menyambung pengajian di Terengganu Skills.
“Kita juga akan bekerjasama dalam penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama masyarakat serta membantu Sabasun dalam aspek penyelenggaraan kenderaan dan logistik bagi memastikan operasi perniagaan berjalan lancar,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya bersama Sabasun HyperRuncit turut memberi tumpuan kepada daerah tertentu seperti Marang bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan sokongan untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Beliau turut memaklumkan, Terengganu Skills kini menawarkan dua program utama iaitu latihan teknikal vokasional (TVET) dan Diploma Kesihatan Pekerjaan yang masing-masing mencatat kadar kebolehpasaran tinggi, iaitu 82 dan 92 peratus.
“Fokus utama kami adalah menawarkan latihan berasaskan kemahiran, manakala kursus Diploma Kesihatan Pekerjaan menjadi antara program teras yang mendapat permintaan tinggi,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











