Perkembangan terkini situasi di Syria (17 Julai 2025)

- Advertisement -

KETIKA ini tentera Zionis Israel sedang menyerang Damsyik dengan mengebom kawasan Istana Presiden dan bangunan Kementerian Pertahanan Syria. Berikutan serangan tersebut, dilaporkan seorang terkorban dan 18 orang cedera.

Manakala di Suweida, pertempuran sengit masih lagi tercetus antara kumpulan militia Druze dan pasukan keselamatan Syria dengan angka korban dan cedera dilaporkan terus meningkat.

Ekoran ketegangan terbaru, ratusan puak Druze dalam Israel menyeberang masuk ke Syria melalui Majdal Shams bertempur dengan pasukan keselamatan Syria.

Benjamin Netanyahu dalam video terbaharunya menyatakan bahawa tentera Zionis Israel akan berusaha untuk menyelamatkan komuniti Druze di Syria dan menghapuskan anasir keganasan.

- Advertisement -

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz menyatakan bahawa amaran yang telah diberikan kepada pentadbiran Syria telah berakhir dan ‘pukulan yang amat menyakitkan’ bakal bermula.

Menteri Hal Ehwal Diaspora (Pendatang Haram) Israel Amichai Chikli berkata sudah sampai masanya dihapuskan Presiden Interim Syria Ahmad al-Shara’a manakala Menteri Luar Israel Gideon Saar mendakwa pentadbiran Syria telah melakukan keganasan ke atas minoriti Druze di Syria.

Ketika ini kumpulan militia Druze di Suweida dan Jaranama mula menurunkan bendera Syria di bandar tersebut dengan menaikkan bendera Israel manakala komuniti Druze di Jaranama telah keluar ke jalanan di tengah bandar Jaranama menuntut agar ditumbangkan kerajaan pimpinan Ahmad al-Shara’a.

Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Kementerian Luar Turkiye dan Kementerian Luar Iran dalam kenyataan terbaharu mengecam keras serangan tentera penjajah Zionis Israel ke atas Syria.

Terkini, Kabinet Keselamatan Israel dilaporkan sedang mengadakan mesyuarat tergempar berikutan situasi di Syria dengan perbicaraan mahkamah berkenaan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah ke atas Benjamin Netanyahu di Tel Aviv ditangguhkan.

Mengikut laporan media Israel Chanel 12, terdapat kemungkinan besar tentera Zionis Israel akan melakukan serangan besar-besaran ke atas Syria.

DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 17/7/2025

- Advertisement -