‘Anak jantan politik tak takut tengok orang berhimpun’

Ustaz Idris sindir penyokong PKR buat laporan polis halang himpunan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menyindir penyokong PKR yang dilihat semakin aktif membuat laporan polis bagi membantah penganjuran perhimpunan, sedangkan parti itu sendiri lahir dari gerakan demonstrasi jalanan.

Beliau berkata, tindakan penyokong PKR itu seolah-olah melupakan sejarah penubuhan parti sendiri yang bermula daripada perjuangan di jalan raya sewaktu era reformasi dahulu.

“Lawaknya bila penyokong PKR hari ini sibuk buat ‘report’ polis bantah orang nak buat himpunan. Tiba-tiba jadi pencinta keamanan dan ketenteraman awam kononnya.

“Elok juga kita tanya, masa zaman reformasi dulu, kamu ni umur berapa? Dah boleh berlari ke belum, atau baru pandai sebut ‘Anwar’?” soalnya dalam satu kenyataan di media sosial miliknya hari ini.

Menurut beliau, PKR asalnya lahir daripada ‘perut jalan raya’ dan pada waktu itu, asap gas pemedih mata diibaratkan sebagai ‘minyak wangi perjuangan’.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, mereka yang benar-benar melalui era reformasi mengetahui bahawa ketika itu bukan masa untuk duduk atas kerusi empuk membuat laporan polis apabila orang lain mahu turun padang.

“Yang peliknya, yang lapor ni tahu sejarah parti sendiri ke tidak? Atau mereka ni hasil generasi ‘copy-paste’, tahu demo pun dari TikTok, bukan dari tapak jalan?” sindirnya.

Idris turut menyebut nama sahabat lamanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang kini Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri (PMX), dan yakin bahawa beliau memahami siapa benar-benar ‘turun’ ke jalan dan siapa pula hanya sekadar ‘komen’ dari jauh.

“Sam, tolonglah ‘slow talk’ sikit dengan budak-budak ‘kanyak’ (tak matang) ni. Jangan bagi mereka buat malu geng lama. Nak jadi ‘anak jantan politik’, jangan takut tengok orang berhimpun.

“Kalau nak ‘anpusana anpusini’ (mengampu) pun, tolonglah tengok kiri kanan dulu. Biar nampak cerdik sikit, jangan sampai geng lama pun rasa segan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -