
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan satu mesyuarat khas minggu lalu bagi memperkukuh usaha menangani masalah penagihan dan penyeludupan dadah di negeri ini.
Mesyuarat tersebut melibatkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), serta jabatan berkaitan pendidikan bagi merangka pendekatan holistik dalam membanteras gejala yang semakin membimbangkan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, mesyuarat berkenaan memberi ruang kepada setiap agensi berkongsi strategi dan cadangan tindakan yang boleh diambil secara bersama.
“Pelbagai kaedah telah dikemukakan supaya semua pihak termasuk institusi pendidikan memainkan peranan secara aktif dalam menangani masalah dadah, khususnya dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2024 yang diadakan di siji, hari ini.
Menurutnya lagi, antara aspek utama yang dibincangkan ialah keperluan mendidik generasi muda melalui pendedahan awal tentang bahaya dadah, pemilihan rakan sebaya yang positif serta intervensi berbentuk rawatan bagi mereka yang terjebak.
“Kita yakin kebanyakan kes yang berlaku ini berpunca daripada runtuhnya institusi kekeluargaan, dan hal ini perlu diberi perhatian serius,”
katanya.
Terdahulu, media melaporkan kejayaan polis menahan enam individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, dengan rampasan sebanyak 35.4 kilogram dadah bernilai RM5.04 juta.
Rampasan itu menimbulkan kebimbangan masyarakat apabila difahamkan dadah berkenaan dirancang untuk diedarkan kepada pelajar dan golongan remaja. – HARAKAHDAILY 9/7/2025




















