MBAS juara bola sepak Sukan PBT Kedah 2025

- Advertisement -

BALING: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berjaya merangkul kejuaraan bagi acara bola sepak sempena Kejohanan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah Tahun 2025 setelah menumpaskan pasukan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) dengan jaringan 1-0 dalam aksi akhir yang berlangsung di Mini Stadium Baling, hari ini.

- Advertisement -

Perlawanan akhir tersebut turut disaksikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang hadir memberikan sokongan serta semangat kepada semua pasukan yang bertanding. (Foto atas)

Turut hadir memeriahkan acara ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya serta Yang Dipertua MPKK, Dato’ Elmi Yusoff.

Sementara itu, perlawanan penentuan tempat ketiga antara pasukan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) yang berlangsung di Padang SMK Model Khas Baling berakhir dengan kemenangan MPSPK menerusi penentuan sepakan penalti.

Kejohanan Sukan PBT Negeri Kedah 2025 yang berlangsung sejak 6 Julai lalu sehingga hari ini menghimpunkan pelbagai pasukan dari seluruh PBT negeri dan melibatkan sembilan kategori sukan iaitu bola sepak, badminton, sepak takraw, tenpin boling, bola jaring, dart, karom, E-sukan dan petanque.

Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara warga kerja PBT seluruh negeri, malah menjadi platform membudayakan gaya hidup sihat serta semangat kesukanan dalam kalangan penjawat awam negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -