
BALING: Majlis Perasmian Baling Boulevard semalam mencatat detik bersejarah bagi daerah ini apabila projek pembangunan tersebut dirasmikan secara rasmi sebagai mercu tanda baharu Baling.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, Baling Boulevard bukan sekadar sebuah pembangunan fizikal, malah menjadi simbol kemajuan, keterangkuman dan harapan baharu buat masyarakat setempat.
“Pembangunan ini menawarkan ruang niaga moden, kawasan riadah yang kondusif serta prasarana mesra rakyat.
“Ia seiring dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah untuk membina sebuah komuniti yang inklusif, mampan dan berdaya saing,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, itu turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak pemaju, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta seluruh warga kerja yang telah bertungkus-lumus menjayakan pembangunan ini,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar masyarakat setempat memanfaatkan kemudahan tersebut dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan ia kekal menjadi aset berharga kepada komuniti.
“Baling Boulevard diharap dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor perniagaan, pelancongan dan pembangunan sosioekonomi.
“Semoga inisiatif ini menyumbang kepada masa depan yang lebih gemilang untuk daerah Baling,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 9/7/2025











