
BESUT: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mencatat kemajuan paling pantas berbanding negeri lain, dengan kadar siap keseluruhan kini mencecah 91.78 peratus sehingga Jun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemajuan projek di peringkat nasional pula berada pada tahap 84.59 peratus bagi tempoh sama.
Beliau berkata, kejayaan itu hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kontraktor utama, China Communications Construction Company (CCCC).
“Kita telah pergi ke beberapa stesen di seluruh Negeri Terengganu ada dua lagi yang belum dan kita dapati progres projek yang sedang berjalan sekarang adalah sangat memberangsangkan dan Negeri Terengganu setakat ini kekal sebagai negeri yang paling pantas dapat disiapkan keseluruhan projek ini.
“Stesen Jerteh ini saya difahamkan oleh Datuk Seri Darwis bahawa kita pada tahap 51.8 peratus dan semua perkara telah dipertimbangkan oleh mereka termasuklah isu kemungkinan banjir musim tengkujuh nanti.
“Keadaan kawasan tempat ini insya-Allah kerajaan negeri akan fasilitate apa jua perkara yang diperlukan oleh MRL dan pihak CCCC supaya kita dapat memastikan projek ini dapat disiapkan dalam waktu yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan ke tapak pembangunan berorientasikan transit (TOD) ECRL di Stesen ECRL, di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, serta pegawai kerajaan negeri.
Mengulas mengenai keadaan jalan masuk ke tapak stesen yang dilihat sempit, beliau berkata, situasi itu disebabkan projek masih dalam fasa pembinaan dan memerlukan laluan untuk pergerakan jentera berat.
“Oleh kerana masih lagi dalam pembinaan bangunan ini perlu jentera berat masuk dan sebagainya. Jalan kita tak boleh buat yang sempurna lagi,” jelasnya.
Dalam masa sama, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sedang berbincang dengan pihak MRL dan agensi berkaitan mengenai perancangan TOD di kawasan sekitar stesen.
“Kerajaan negeri juga sedang melakukan perbincangan dengan pihak MRL dan lain-lain agensi untuk memastikan TOD di kawasan ini dapat dirancangkan dengan sebaik mungkin untuk memberi manfaat yang maksimum,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaan TOD berdepan cabaran besar kerana tidak pernah dimasukkan dalam mana-mana Rancangan Malaysia mahupun dibentangkan dalam Bajet Persekutuan sebelum ini.
“Saya akan membangkitkan isu ini kepada Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, semasa lawatan beliau ke Terengganu pada Sabtu ini. Kita mahu memastikan setiap pembangunan di sekitar stesen membawa manfaat maksimum kepada rakyat.
“Saya akan mendapatkan pandangan beliau mengenai TOD yang saya rasa isu ini yang agak generate, bukan di Terengganu sahaja di Kelantan, Pahang pun akan ada isu bagaimana untuk memastikan bottom line ialah ada manfaat, kalau tidak ada sebarang pembangunan yang lain, tidak ada manfaatlah,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan negeri masih meneliti reka bentuk, pemilikan tanah serta kerjasama strategik (smart partnership) yang sesuai bagi memastikan TOD dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berdaya saing.
“Setiap stesen mempunyai cabaran tersendiri, khususnya dari segi status pemilikan tanah sama ada tanah kerajaan, tanah milik persendirian dan sebagainya.
“Jadi, kita masih dalam peringkat perbincangan termasuk menilai kerjasama strategik dengan siapa ini semua masih lagi dalam pertimbangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2025











