ECRL: Kawalan ketat elak kecurian kabel

- Advertisement -

BESUT: Kerajaan Negeri Terengganu memandang serius isu kecurian kabel yang berlaku di laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di sini yang dilihat boleh menjejaskan jadual pembinaan dan proses ujian pentauliahan projek mega itu.

- Advertisement -

Menteri Besar, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri meminta semua pihak termasuk wakil rakyat, majlis daerah dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) supaya menjadi ‘mata dan telinga’ bagi menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan di kawasan sekitar.

“Mereka boleh jadi mata dan telinga bukan untuk mengambil tindakan tetapi mereka melihat sekiranya ada sebarang aktiviti yang agak luar biasa, minta dilaporkan kepada pihak yang berkenaan dengan segera.

“Jadi mata dan telinga di kalangan rakyat yang berada di kampung di kawasan sekitar itu memang sangat penting,” katanya dalam sidang media selepas lawatan ke tapak pembangunan berorientasikan transit (TOD) ECRL di Stesen ECRL, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, serta pegawai kerajaan negeri.

Sementara itu, Darwis berkata, isu kecurian kabel memang berlaku namun kerjasama pelbagai pihak, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), membantu mengurangkan kejadian itu sejak tiga bulan lalu.

“Kita telah mengenal pasti kawasan-kawasan hotspot dan mengambil tindakan dengan melantik beberapa servis kawalan keselamatan untuk ditempatkan di lokasi terlibat.

“Dalam masa yang sama, rondaan berkala turut dijalankan dengan kerjasama pihak polis. Alhamdulillah, perkara ini berjalan dengan baik,” katanya.

Menurutnya, jika tidak dibendung, kecurian kabel boleh memberi impak besar kepada jadual keseluruhan projek, termasuk proses ujian pentauliahan.

“Alhamdulillah, usaha pencegahan yang dijalankan menunjukkan penurunan kes kecurian kebelakangan ini. Kita berharap momentum ini dapat diteruskan bagi menjayakan projek nasional ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -