
BESUT: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu sudah lama berdepan dengan pelbagai muktamar dan yakin parti mampu menangani sebarang kemungkinan termasuk pertandingan dalam jawatan tertinggi.
“Saya rasa perkara ini biasa sahaja. PAS sudah berdepan dengan pelbagai muktamar sejak sekian lama dan kita, insya-Allah, mempunyai sistem yang kukuh. Parti akan terus bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan ke tapak pembangunan berorientasikan transit (TOD) ECRL di Stesen ECRL, di sini, hari ini. (Foto atas)
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, serta pegawai kerajaan negeri.
Ditanya sama ada beliau sendiri akan bertanding sebarang jawatan tertinggi pada muktamar kali ini, katanya, beliau tidak berhasrat berbuat demikian.
“Saya sudah sebut sebelum ini, jawatan yang ada sekarang pun sudah cukup berat untuk saya pikul. Jadi, tidak timbul soal saya nak bertanding jawatan lain,” katanya.
Beliau juga menyerahkan sepenuhnya kepada pertimbangan Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah sama ada mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-71 pada September ini.
Menurutnya, keputusan itu adalah hak mutlak Naib Presiden PAS itu dan beliau yakin setiap keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan yang teliti.
“Sebagaimana disebutkan oleh beliau, beliau kata dia nak ‘tengok anak bulan’ dulu. Jadi, biar beliau buat keputusan sendiri sama ada nampak atau tidak. Itu betul-betul seratus peratus di atas pertimbangan beliau,” katanya.
Muktamar Tahunan PAS ke-71 akan berlangsung di Kedah dan dijangka menyaksikan pemilihan kepimpinan tertinggi parti. – HARAKAHDAILY 9/7/2025











