
MENURUT kefahaman dari sudut bahasa, retro bermaksud sesuatu ikutan, fesyen, cara yang pernah dipopularkan suatu masa dahulu yang menjadi ‘trend’ semasa termasuk juga muzik. Pada kebiasaannya kitaran itu sekitar minima satu atau dua dekad, jika ia berulang menjadi ikutan, maka boleh kita fahamkan sebagai retro.
Pada tahun 1985, aku teringat kepada retro Pop Yeh-Yeh yang sedang hangat dimainkan semula lagu-lagu dan tidak kurang cara berpakaian, menjadi kegilaan sekitar 1964-1969. Muzik genre itu diiringi dengan berdansa cara twist, memberikan saingan terhadap muzik rock yang sedang berkembang ketika itu.
Ramai orang dewasa ketika itu berusia 30-an dan 40-an menyanyikan semula lagu-lagu A. Halim, A. Rahman Hassan, Jefridin, S. Jibeng, M. Sharif, A. Ramlie, L. Ramlee, M. Osman berserta kugiran masing-masing. Sebahagian artis berjaya menggunakan sepenuhnya peluang kali kedua yang datang itu dengan menerbitkan album-album baharu ataupun memenuhi jemputan persembahan dengan menerima bayaran yang lumayan.
Tiada retro artis 70-an secara besar-besaran berlaku pada tahun 90-an, mungkin kerana zaman 70-an itu tidak terlalu menonjol dengan kehebatan muzik mereka kecuali Hail Amir, Uji Rashid, DJ Dave, Syarifah Aini, Dahlan Zainudin dan beberapa lagi.
Masuk alaf baharu, tahun milenium, 2000, muzik rock masih boleh bertahan, walaupun genre hip hop dilihat menonjol, tetapi siulan Srikandi Cintaku, Isabella, Fantasia Bulan Madu, Gerimis Mengundang, Intanku Kesepian, Suci Dalam Debu, masih menguasai industri muzik kerana irama dan liriknya yang sangat unik mengatasi lagu-lagu baharu, turut dijiwai golongan Gen Y.
Sepertinya tiada retro untuk genre rock kerana masih ramai antara mereka yang masih aktif dan sering muncul membuat persembahan, mengatasi artis-artis muda kontemporari yang dilihat tidak berupaya menyaingi rockers lama yang masih bertenaga sehinggalah kini.
Hinggakan banyak pertandingan dibuat sepertinya meraikan artis-artis 80-an dan 90-an iaitu zaman Rock Kapak, tidak terhenti pada mana-mana zaman dan hadiah yang ditawarkan sangat lumayan seperti Kilauan Emas, Otai Masih Berbisa.
Oleh kerana lagu-lagu rock dilihat utuh, tidak seperti Pop Yeh-Yeh atau muzik pop 70-an yang memerlukan promosi bagi membuat kemunculan, maka banyak kumpulan rock yang kita lihat terpaksa membuat gimik berkelahi dan berpecah, kemudiannya berbaik semula dan membuat kemunculan semula kerana jika tiada drama, mungkin kurang sambutan kepada reunion mereka.
Begitu juga ada beberapa kumpulan hip hop pertengahan 90-an yang sekarang bergaduh sesama mereka, menangis-nangis di hadapan kamera, bagaikan budak-budak hingusan lagaknya, tanpa malu, semata-mata mengharapkan ada promosi percuma bagi menarik peminat. Ada juga yang sudah bertudung, sanggup bergelek di hadapan lelaki ajnabi, demi kerana retro atau kerana duitlah senang disebut.
Jika dilihat semua ini, kita memahami ia berlaku kerana mereka artis, mereka tahu bagaimana membuat gimik bagi menarik perhatian untuk tujuan konsert mereka. Tetapi anda semua juga mesti faham dan tahu, begitulah juga cara Rafizi Ramli mencari popular.
Identitinya sudah parah terkoyak kerana kejahatan mulutnya berjanji, berformula yang tidak menjadi, membodohkan rakyat, memungkiri janji, menuding kepada orang lain atas kesalahannya. Jadi untuk mengembalikan retro yang dia dahulu pernah dipuja puji oleh rakyat Malaysia sebagai kononnya penyelamat dengan Langkah Kajang yang sangat berdosa itu, dia memanggil satu sidang akhbar.
Sebelum itu, dia membuka kisah berkelahi dengan pimpinan PKR dan membocorkan semua rahsia dalam mesyuarat, sesuatu yang dilihat tidak amanah secara profesional yang sepatutnya rahsia tetap dipegang walaupun berselisih faham. Lebih pilu, pengakuan Rafizi bahawa PMX marahkan dia itu kemudiannya dinafikan oleh ahli mesyuarat yang turut hadir.
Rafizi dilihat sebagai kupang tembaga buat masa ini, tiada nilai. Dia sentiasa berbohong. Cara dia sekarang ini tidaklah dilihat hanya untuk mendapatkan semula nama dengan membuka dongeng perbalahan dengan PMX yang juga dilihat sebagai seorang pemimpin yang gagal menunaikan janji. Sama seperti Rafizi.
Retro sebenar mereka bagi kita ialah kenangan pembohongan-pembohongan mereka, bukan retro kenangan kepada kemuliaan yang mereka laksanakan kepada rakyat.
MOHD NASIR ABDULLAH
8 Julai 2025 – HARAKAHDAILY 8/7/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











