Kelantan model perpaduan kaum, dasar Islam asas keharmonian

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited mengekalkan suasana harmoni dan kehidupan mesra antara kaum yang telah lama menjadi identiti rakyat negeri ini.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, sejarah membuktikan bahawa negeri ini tidak pernah berdepan perbalahan kaum, sekali gus menunjukkan perpaduan sejati yang wujud dalam masyarakat Kelantan sejak dahulu.

“Alhamdulillah, inilah kelebihan dan keistimewaan yang wajib dipertahankan oleh kita semua dan ni bukan sekadar cakap, tetapi hakikat yang terbukti,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Antara Kaum, di Dewan Perniagaan Cina, di sini.

Majlis itu dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Pusat Intergrasi Antara Kaum Negeri Kelantan (PEKA) dan pelbagai NGO.

Menurut beliau, membina dan mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum bukanlah satu perkara mudah malah memerlukan kesedaran dan pengorbanan daripada semua pihak.

“Di Kelantan, kita hidup sebagai satu keluarga sejak turun-temurun walau berbeza bahasa dan budaya, rakyat Kelantan tetap bersatu.

“Orang Cina Kelantan makan budu, orang India Kelantan pun makan budu. Budaya makan bersama dalam satu pinggan, cicah budu ramai-ramai, inilah keunikan kita,” katanya.

Beliau berkata, bangsa merupakan ketentuan Allah dan tidak boleh diubah.

Namun, ujarnya yang lebih penting adalah bagaimana kehidupan dikendalikan agar keharmonian terus terjaga.

“Kerajaan negeri membuktikan kepada dunia bahawa dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi teras pentadbiran berjaya menyatupadukan rakyat pelbagai kaum berpandukan wahyu Allah SWT,” katanya.

Tambahnya, prinsip keadilan kepada semua tanpa mengira latar belakang politik, bangsa atau agama akan terus dipertahankan oleh kerajaan negeri Kelantan.

Beliau turut memetik pandangan tokoh pemikir Islam, Ibnu Khaldun yang menekankan lima asas Model Perpaduan Dalam Kepelbagaian iaitu al-ukhuwwah (persaudaraan), al-nubuwwah (seruan kebenaran), al-muluk (kekuasaan), al-‘asabiyah (solidariti) dan al-ma’unah (pertolongan Allah SWT).

“Oleh itu, marilah kita semua mendokong hasrat kerajaan untuk menzahirkan perpaduan kaum yang menjadi model kepada pihak lain dengan acuan Penghayatan Membangun Bersama Islam,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Asri Mohd Daud menyifatkan perpaduan kaum di negeri ini sebagai satu kekuatan besar yang perlu dikekalkan.

“Melayu, Cina, India, Siam dan Orang Asli semua hadir ‘full house’. Ini bukti kukuh bahawa rakyat Kelantan hidup dalam suasana saling memahami dan menyayangi.

“Program ini bertujuan mengukuhkan ikatan antara kaum, memupuk persefahaman dan membina jambatan kasih dalam masyarakat berbilang kaum,” ujarnya.

Asri turut menyatakan bahawa dasar Hubungan Antara Kaum yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2020 telah meletakkan Kelantan sebagai negeri model perpaduan kaum yang dinamik dan unik.

“Insya-Allah, dengan hubungan kekeluargaan yang kita bina bersama, Kelantan akan terus menjadi negeri yang aman dan harmoni untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -