MB Kelantan bertindak profesional, wajar dicontohi pusat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pendekatan inklusif dan profesional yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Ustaz Mohd Nassuruddin Daud terus menjadi contoh kepimpinan berhemah apabila beliau turut menjemput Ahli Dewan UNdangan Negeri (ADUN) pembangkang dan Ahli Parlimen Bebas menyertai lawatan rasmi ke Gua Musang, baru-baru ini.

- Advertisement -

Sejak menerajui pentadbiran kerajaan negeri bermula tahun 2023, semua ADUN pembangkang turut menerima peruntukan di bawah Rancangan Kecil Pembangunan (RKP) secara adil seperti ADUN kerajaan, meskipun tiada janji tersebut terkandung dalam manifesto pilihan raya.

Langkah berani dan matang ini memperlihatkan kematangan politik Kerajaan Kelantan sempena sambutan ulang tahun ke-35 pentadbiran Membangun Bersama Islam yang bakal diraikan Oktober ini.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman menyifatkan pendekatan inklusif ini seharusnya dimulakan terlebih dahulu oleh Kerajaan Persekutuan, bukan sebaliknya.

“Malangnya, Kerajaan Pusat di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menafikan peruntukan kepada ahli-ahli parlimen pembangkang, meskipun janji itu termaktub dalam manifesto PRU15,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan hari ini lahir hasil perjuangan panjang reformasi yang turut didukung oleh rakyat pelbagai lapisan melalui siri demonstrasi jalanan suatu ketika dahulu.

Namun apabila perkara ini dibangkitkan, kerajaan mengenakan syarat baharu iaitu perjanjian sebelum sebarang peruntukan disalurkan.

“Inilah bukan reformasi, tetapi nasibasi,” sindir beliau menerusi cacatan di Facebooknya.

Beliau menyatakan bahawa adalah tidak wajar apabila ahli parlimen pembangkang disekat daripada terlibat dalam program rasmi kerajaan Persekutuan, termasuk lawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri mahupun menteri ke kawasan masing-masing.

“Semalam bukan lagi isu masuk kawasan, tetapi masuk rumah. Sebagai tuan rumah, kami pula yang tidak dibenarkan hadir atas alasan arahan,” tegas beliau.

“Kerjasama antara wakil rakyat pembangkang dengan jabatan dan agensi pusat juga semakin terhad dan penuh ketakutan, termasuk permohonan kerjasama dengan sekolah-sekolah yang hanya boleh disampaikan secara senyap bagi mengelakkan tindakan.

“Kalau ada undangan pun, bukan untuk berucap, cuma sekadar jamuan raya, kutipan derma atau kesyukuran. Kenapa sampai takut begitu sekali?” soalnya.

Abdul Latiff menyeru agar Perdana Menteri segera melakukan pembetulan sebelum gelombang dalaman dalam kerajaan sendiri terus menolak dasar-dasar yang menyimpang daripada semangat reformasi asal. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -