Kumpulan ketiga jemaah haji Andalusia tiba, dua lagi esok

Anak temani ibu ke Tanah Suci, kenang ibadah haji sebagai momen terindah

- Advertisement -

SEPANG: Seramai 36 orang jemaah kapal terbang 86B (KT86B) di bawah kelolaan Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 2.00 petang ini, selepas menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci.

- Advertisement -

KT86B merupakan kumpulan ketiga jemaah haji yang telah selamat tiba di Malaysia, manakala esok (10 Julai) dijangka ketibaan kumpulan keempat (KT100) dan kelima (KT96) masing-masing pada jam 7.00 malam dan 9.00 malam, melibatkan seramai 100 orang jemaah haji.

Seramai 573 orang jemaah haji bersama 13 orang petugas tahun ini menunaikan haji di bawah kelolaan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd.

Terdahulu media melaporkan, salah seorang jemaah Haji Andalusia, almarhum Abd Yazit Matt, 65, dari kumpulan KT100 meninggal dunia jam 11.22 malam pada 6 Jun lalu di Hospital Pakar Al Noor disebabkan serangan jantung.

Dua orang ahli keluarga almarhum yang menunaikan haji bersama sebelum ini dijangka akan pulang ke tanah air pada hari esok (10 Julai) bersama kumpulan KT100.

Ibadah haji jadi kenangan manis anak-beranak

Sementara itu, pengalaman menunaikan haji tahun ini menjadi kenangan manis buat Kasmah Mohamed Jaddi, 71, yang turut ditemani anaknya, Muhammad Mukri Ramli, 33, dalam rombongan jemaah di bawah kelolaan Andalusia.

Kasmah berkata, ibadah yang ditunaikan di Tanah Suci memberikan pelbagai pengalaman yang tidak disangka-sangka sejak dari awal hingga ke akhir.

“Memang macam-macam berlaku tapi semuanya boleh diterima. Pengurusan Andalusia sangat baik. Walaupun ketua (syarikat) tidak berada di sana, dia sentiasa beri arahan melalui WhatsApp, dan bantu kami sepanjang masa.

“Makanan sedap, tempat tinggal dekat dengan masjid, jadi senang nak ulang alik. Cuaca memang panas dan kering, tapi baju cepat kering. Dobi pun ada, semua perkhidmatan memang baik,” jelasnya kepada media di sini hari ini.

Menurutnya, ramai jemaah mengalami masalah batuk namun kemudahan klinik disediakan oleh Tabung Haji, dan sesiapa yang uzur akan dibawa mendapatkan rawatan.

“Semua urusan baik, tidak ada yang nak komplen. Cuma biasalah, semua pengurusan ada lebih dan kurang. Tapi bagi saya, semua baik,” pujinya.

Mengulas peluang menunaikan haji pada usia 71 tahun, Kasmah menyifatkan ia satu anugerah yang mengharukan selepas rayuannya diterima.

“Alhamdulillah, anak saya banyak membantu sepanjang di sana,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Mukri berkata, peluang menunaikan haji bersama ibunya tahun ini tidak disangka dan menjadi detik berharga dalam hidupnya.

“Cabaran memang ada, cuaca panas, ramai orang batuk, tapi alhamdulillah kami berjaya hadapi semuanya. Saya bersyukur dapat temani mak saya dan menjalani ibadah haji dengan semangat walaupun dalam keadaan kurang sihat.

“Pengalaman paling manis bila dapat buat tawaf dan sa’ie pada Hari Raya Haji sendiri bersama mak. Itu takkan saya lupakan,” katanya.

Beliau turut menyarankan bakal jemaah agar mengikuti kursus anjuran Pengelola Jemaah Haji (PJH) atau Tabung Haji sebagai persiapan penting sebelum berangkat.

“Sebabnya bila anda di sana, bila tiba-tiba kehilangan ataupun mutawif tak dijumpa, awak tahu apa nak buat dekat sana. Sebabnya yang penting bila sampai di sana kita kena tahu apa ibadah yang kita perlu buat. Alhamdulillah,” jelasnya.

Muhammad Mukri turut berterima kasih kepada pengurusan Andalusia serta semua mutawif kerana menunjukkan komitmen tinggi dan ilmu mendalam dalam mengendalikan perjalanan ibadah.

“Walaupun ada tambah tolak tapi tak apa itu adalah haji. Haji kita tak boleh merancang. Tapi yang penting semuanya akan berada di sisi. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -