Sekolah bukan tempat jual arak, kembalikan maruah pendidikan

Zakiah Tukirin
- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ) melahirkan rasa kesal dan kecewa yang mendalam terhadap insiden lelongan minuman keras yang berlaku di sebuah dewan sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian, baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua DMPNJ, Zakiah Tukirin berkata, insiden yang mencetuskan kekecohan dan pergaduhan itu bukan sahaja telah mencemar maruah institusi pendidikan, malah menunjukkan keruntuhan nilai moral dalam masyarakat.

“DMPNJ dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan rasmi Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh, yang menegaskan bahawa sekolah adalah tempat mendidik akhlak, bukan menjual arak.

“Pandangan beliau mewakili keresahan majoriti rakyat yang masih waras dan cintakan nilai kebenaran, serta mewakili suara ibu-ibu dan wanita seluruh negara yang mahukan sekolah kekal sebagai tempat yang bermaruah, selamat dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, pihaknya menuntut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil segera memberi penjelasan berhubung insiden tersebut, termasuk sama ada penjualan arak di premis sekolah itu dibenarkan secara sedar dan rasmi.

Selain Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) disaran menyemak dan memperketat garis panduan penyewaan serta penggunaan fasiliti sekolah agar tidak digunakan sewenang-wenangnya bagi acara yang bercanggah dengan moral dan keselamatan.

“PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) guru besar dan komuniti setempat digesa memainkan peranan sebagai benteng akhlak dengan lebih aktif dalam menapis dan memantau aktiviti luar yang melibatkan sekolah,” ujarnya.

Tegas beliau, insiden yang berlaku itu bukanlah isu politik, sebaliknya merupakan isu akhlak dan masa depan anak bangsa, di mana institusi pendidikan mesti dikekalkan sebagai institusi yang mendidik jiwa dan bukannya menjual noda.

“Jika hari ini arak dibenarkan dijual dalam sekolah, apakah yang bakal dinormalisasikan kelak? Anak-anak kita wajar dilindungi, bukan didedahkan dengan budaya songsang. Sekolah bukan tempat pesta.

“Sekolah adalah tempat mencetak manusia berakhlak dan berilmu. Kami berdiri teguh mempertahankan maruah sekolah dan menolak sebarang unsur kebejatan moral dalam ruang pendidikan,” katanya.

Terdahulu, tular satu video memaparkan sekumpulan lelaki yang bertindak membaling kerusi ke arah pentas kerana tidak berpuas hati dengan harga lelongan minuman keras ditawarkan penganjur.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 11.30 malam dan susulan itu, seramai 18 lelaki tempatan berusia antara 17 hingga 48 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan tersebut. -HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -