Perlu anak muda dukung agenda ‘food security’ negeri

- Advertisement -

KANGAR: Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri, Razali Saad menyeru lebih ramai anak muda agar menceburi sektor pertanian demi menyokong agenda keterjaminan makanan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kebun Haji Din di Kampung Tunjung, Beseri, beberapa hari lalu, di mana Razali turut menikmati hasil durian tempatan bersama pengusaha kebun berkenaan.

Menurut beliau, sektor pertanian merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri, namun masih dikuasai oleh golongan warga emas.

“Kebanyakan yang mengusahakan kebun ini ialah warga emas yang sudah bersara dan mencari cara untuk mengisi masa lapang. Sebab itu hampir keseluruhan peratusan penyertaan adalah daripada mereka,” ujarnya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan insentif untuk menarik penyertaan generasi muda, namun penyertaan mereka masih rendah.

“Kita ada banyak program termasuk ‘Projek Khas Komuniti: Satu Kariah Satu Tanaman’, tapi masih ada kawasan yang belum dipenuhi,” katanya sambil menyatakan kerajaan kini sedang mencari anak muda yang berminat untuk terlibat secara aktif dalam pertanian.

Razali turut menekankan bahawa keterjaminan makanan atau ‘food security’ negara hanya akan dapat dicapai sekiranya generasi muda bersedia menjadi pelapis dan penggerak kepada pertanian moden yang lebih berdaya saing.

“Saya mohon kepada pihak media untuk membantu kerajaan uar-uarkan peluang ini supaya anak muda lebih peka dan berani mencuba. Ini peluang untuk jana pendapatan dan bantu negeri,” tambah beliau.

Lawatan ini turut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perlis dalam mendekati para pengusaha pertanian di peringkat akar umbi serta memahami cabaran dan keperluan semasa industri pertanian tempatan. – HARAKAHDAILY 7/7/2025

- Advertisement -