
KOTA BHARU: Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi menolak dakwaan Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakob bahawa Umno adalah ‘payung besar’ orang Melayu dan kononnya pentadbiran PAS gagal.
Menurut beliau, dakwaan Pengerusi Umno Negeri Kelantan itu adalah tidak berlandaskan realiti politik semasa dan hanya retorik lapuk yang tidak lagi dipercayai oleh rakyat negeri itu.
“Ajaib benar kenyataan ini datang dari parti yang sudah sekian lama dilihat oleh rakyat sebagai payung bocor waktu hujan. Mari kita hayati secara jujur. Kononnya PAS gagal mentadbir? Lucu juga.
“Dalam dunia penuh hipokrasi politik, fakta tidak boleh dikaburkan oleh suara lantang semata-mata. PAS Kelantan bukan baru semalam memerintah. Lebih 30 tahun bertahan, bukan kerana membeli jiwa rakyat dengan wang ringgit atau projek segera.
“Tetapi kerana prinsip. Ya, prinsip satu perkara yang barangkali jarang difahami oleh mereka yang terlalu lama hidup dalam budaya ‘politik nasi tambah’,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tegas beliau, antara kejayaan pentadbiran PAS ialah tadbir urus bersih, dengan Kelantan menjadi satu-satunya negeri yang kekal bebas dari skandal rasuah besar selama lebih tiga dekad.
Jelasnya, tiada mana-mana pemimpin parti itu yang diheret ke mahkamah kerana melakukan penyelewengan, berbanding sejarah rakan politik yang baru-baru ini hilang ‘kepercayaan’ dan keadilan setelah wang rakyat dijadikan modal berpolitik.
“PAS meletakkan dasar Islam dalam pentadbiran dan sosial bukan sekadar meletakkan slogan agama di pentas ceramah. Nilai akhlak dan moral dimartabatkan dalam program sosial, pendidikan serta pengurusan rakyat.
“Islam bukan kosmetik, tetapi dasar dan itu yang menyejukkan bumi Kelantan dari wabak keruntuhan moral yang melanda negeri-negeri lain. Terbaru, Kelantan di nobat negeri terbaik STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) dan rakyatnya menguasai hampir keseluruhan kampus dalam negeri.
“PAS berjaya mengurus negeri dalam kekangan ekonomi yang nyata tanpa royalti minyak, tanpa keistimewaan projek mega dari Pusat. Namun, Kelantan tetap hidup, tetap bernyawa. Rakyat berusaha, membangunkan ekonomi koperasi, perniagaan kecil dan sistem Ar-Rahnu yang menjadi contoh,” ujarnya.
Firdaus dalam pada itu menegaskan bahawa rakyat Kelantan tidak memerlukan ‘payung besar’ yang berlubang, sebaliknya mahukan pemimpin yang jujur, berprinsip dan istiqamah kerana rakyat tidak mudah diperbodohkan.
“PAS bukanlah sempurna, tiada manusia sempurna. Tetapi jika dibandingkan dengan sejarah panjang kerosakan Umno, rakyat tahu mana satu yang ikhlas dan mana satu yang hanya bermuka-muka.
“PAS tidak gah dengan slogan, tetapi konsisten dengan amanah. Biarlah yang lain terus berbangga dengan retorik ‘penyelamat bangsa’, rakyat Kelantan sudah lama menilai bukan dengan telinga, tetapi dengan mata hati,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/7/2025




















