
JERLUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi enam sekeluarga ditemui lemas dalam sebuah kereta yang tenggelam di dasar Sungai Korok, di sini semalam.
Beliau berkata, insiden menyayat hati itu perlu menjadi pengajaran besar kepada semua pihak, khususnya agensi pelaksana dan kerajaan tempatan agar mengambil tindakan segera bagi mengelakkan kejadian seumpamanya berulang.
“Saya akan bangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah untuk mencari kaedah yang sesuai bagi menambah baik aspek keselamatan di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Menurut beliau, antara cadangan yang akan dikemukakan ialah pemasangan papan tanda amaran serta sistem lampu amaran berkelip di kawasan-kawasan berisiko tinggi terutama waktu malam atau ketika hujan lebat.
“Selain itu, kita juga mencadangkan agar pihak berwajib membina penghadang keselamatan yang bersesuaian di tepi jalan berhampiran sungai atau cerun, bagi mengelakkan kenderaan terbabas dan terus jatuh ke dalam sungai.
“Kawasan ini memang sering berlaku kejadian kenderaan jatuh sungai. Justeru, kita perlu ambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya lagi.
Dalam kejadian tragis itu, sepasang suami isteri dan empat anak mereka termasuk seorang bayi dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu sebelum kenderaan mereka ditemui tenggelam di Sungai Korok, Kampung Kemboja di sini, pagi tadi.
Mangsa terdiri daripada Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun.
Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Jerlun selepas bermalam di kediaman ahli keluarga di Taman Aman, Jitra di mana usaha mencari dilakukan oleh ahli keluarga sebelum laporan polis dibuat.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra telah menjalankan operasi menyelamat dan berjaya mengeluarkan kesemua mangsa dari dalam kereta yang tenggelam.
Azhar turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan berat itu.
“Saya harap keluarga mangsa diberi ketabahan. Ini adalah satu kehilangan besar buat masyarakat. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh semua mangsa,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memandu, khususnya di kawasan berhampiran sungai atau jalan yang gelap dan sempit.
“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Jangan ambil mudah dan sentiasa peka dengan keadaan jalan, terutama pada musim hujan atau ketika waktu malam,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











