Susuri Sungai Kelantan dengan kolek tradisional

- Advertisement -

TUMPAT: Program river cruise menyusuri Sungai Kelantan menggunakan perahu kolek tradisional bakal diperkenalkan sebagai produk pelancongan baharu bermula awal Ogos ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Dato’ Kamaruddin Md Nor berkata, tinjauan bersama pemain industri pelancongan negeri mendapati bot-bot tradisional sedia ada di hilir Sungai Kelantan berpotensi besar untuk digerakkan bagi tujuan itu.

Katanya, bot-bot tersebut diperbuat daripada kayu dan dikendalikan secara tradisional, sesuai untuk pelayaran selama dua jam dengan kapasiti sehingga 20 penumpang.

“Kemudahan makan dan minum turut disediakan di atas bot, menjadikan pengalaman pelayaran lebih santai dan menarik.

“Laluan yang dicadangkan bermula dari Tambatan Diraja ke Pulau Sri Tanjung dan Pulau Suri sebelum kembali singgah ke Laman Warisan Kampung Laut dan berakhir semula di Tambatan Diraja,” ujarnya kepada media selepas program berkenaan di Laman Warisan Kampung Laut, di sini.

Tambahnya, pengunjung akan berpeluang menikmati suasana tenang dan panorama indah di sepanjang kedua-dua tebing Sungai Kelantan.

Jelasnya, program itu dijangka menjadi pelengkap kepada kalendar pelancongan negeri yang turut menampilkan pelbagai acara kebudayaan dan kesenian.

“Perahu kolek adalah satu-satunya perahu tradisional Kelantan yang masih digunakan hingga hari ini di negeri ini. Ia bukan sahaja membawa nilai sejarah, bahkan memiliki nilai seni bina yang tinggi dan menjadi identiti masyarakat kita,” ujarnya lagi.

Beliau turut menegaskan, walaupun terdapat bot moden yang pantas untuk pelancong, kerajaan negeri tetap mahu mengekalkan warisan ini seiring dengan arus kemodenan.

Katanya lagi, program itu bukan perkhidmatan ‘walk-in’ dan tidak bertujuan menyaingi bot penambang sedia ada.

“Perkhidmatan bot penambang tidak perlu risau kerana pengunjung yang akan ke kedua-dua pulau terbabit adalah melalui pengusaha hotel dan travel agent,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa peniaga tempatan turut meraih manfaat daripada program ini, khususnya pengusaha makanan.

Kamaruddin berkata, pelaksanaan yang sepatutnya bermula bulan Julai terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang kepada penambahbaikan kemudahan demi keselesaan pengunjung.

“Ia dijangka akan dilancarkan sekitar hujung Julai atau awal Ogos, namun bergantung kepada situasi semasa.

“Harga pakej pelayaran masih dalam peringkat perbincangan bersama pengendali terlibat dan akan diumumkan kelak,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 5/7/2025

- Advertisement -