Didik anak sejak lahir bendung gejala sosial

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pendekatan pendidikan Islam secara menyeluruh perlu digerakkan sejak awal usia bagi membendung gejala sosial di negeri ini, tegas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

- Advertisement -

Katanya, kegagalan mendidik anak dengan asas Islam sejak kecil merupakan antara punca utama kepada permasalahan sosial dalam masyarakat.

“Termasuklah mengabaikan amalan bercukur rambut bayi pada hari ketujuh sebagaimana disunatkan. Walaupun doktor bersihkan luar kepala, tetapi kuman tetap boleh kekal dan menyerang otak.

“Adat bercukur jambul penting untuk membersih rambut asal dari dalam kandungan, dan ada ganjaran pahala juga di sebaliknya,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutup Bengkel Menangani Gejala Sosial dan Maksiat Negeri Kelantan 2025 di Dewan Seminar Mabna, kelmarin. Turut hadir timbalan beliau, Kamaruzaman Mohamed.

Beliau berkata, proses itu memberi kesan kepada kesihatan otak serta keupayaan anak untuk berfikir matang dan menjauhi bisikan syaitan.

Tambah beliau, pencegahan gejala sosial perlu bermula sejak awal kehidupan lagi.

Menurutnya lagi, keberkatan hidup perlu dicari sebagaimana Rasulullah SAW sentiasa berdoa agar kebaikan dalam kehidupan sentiasa bertambah.

“Umat Islam wajib mencontohi kehidupan Baginda SAW untuk keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan negeri. Ia menjadi perisai agar tidak terjebak dengan gejala negatif,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anak muda agar tidak hanyut dengan maksiat kerana kesannya amat besar kepada masa depan mereka.

“Gejala sosial bukan sahaja merosakkan masa depan anak muda, tetapi juga mengganggu kestabilan masyarakat. Jangan sampai graduan universiti cari pasangan hidup di pusat pemulihan,” ujarnya.

Sebagai langkah berterusan, kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 untuk melaksanakan pelbagai inisiatif menangani isu sosial dalam kalangan rakyat.

Beliau turut memaklumkan Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menetapkan waktu persekolahan bermula jam 8.00 pagi bagi memberi ruang pelajar menunaikan solat Subuh di rumah.

Katanya, solat zohor berjemaah juga diwajibkan di sekolah supaya pelajar tidak meninggalkan kewajipan itu.

“Pendekatan Generasi Rabbani (Gen Rabb) terus diperluas dengan kerjasama agensi kerajaan, NGO, sekolah, masjid dan komuniti setempat,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan agama menjadi keutamaan di Kelantan kerana negeri ini mahu melahirkan rakyat berakhlak, menghormati ibu bapa dan guru serta takut kepada Allah.

Wan Roslan turut merakamkan penghargaan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN), Institut Latihan Darulnaim (ILDAN) dan Pusat Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik Negeri Kelantan (SPARK) atas penganjuran bengkel tersebut.

“Harapan kita, anak-anak Kelantan akan membesar menjadi pemimpin bertakwa dan menjadi contoh kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2025

- Advertisement -