
HULU LANGAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Ustaz Nushi Mahfodz menyatakan komitmen untuk terus memperjuangkan hak dan keperluan masyarakat Orang Asli agar tidak tercicir daripada menikmati kemudahan dan peluang seperti rakyat lain.
Menurut beliau, kumpulan etnik tersebut merupakan aset berharga negara yang memiliki keunikan budaya serta sejarah tersendiri, serta sewajarnya tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan dan kemajuan negara.
“Baru-baru ini, saya bersama pasukan Pusat Khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) Semenyih telah mengadakan pertemuan rasmi dengan Puan Norazila, Pengerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Hulu Langat dan Encik Shahrizal selaku Penolong Pengerusi. Antara isu yang diketengahkan ialah keciciran pendidikan anak-anak.
“Keperluan pewartaan tanah, serta akses terhadap kemudahan asas. Kami juga membincangkan bagaimana nilai adat yang masih kukuh dalam masyarakat ini boleh dihormati sambil tetap membuka ruang kepada mereka untuk berkembang dan bergerak maju dalam arus pembangunan negara,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Tambahnya, usaha dakwah telah dijalankan oleh JAKOA bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui penghantaran Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) bagi mendekati dan membimbing masyarakat dengan pendekatan yang berhikmah.
Tegas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat itu, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat untuk memastikan suara masyarakat Orang Asli terus diperjuangkan dan keperluan mereka dipenuhi.

“Insya-Allah, Pusat Khidmat DUN Semenyih akan terus menjalin kerjasama dengan JAKOA dan pihak berkaitan agar usaha menyantuni masyarakat Orang Asli ini bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar memberi kesan positif dalam kehidupan mereka,” katanya.
Secara keseluruhan, terdapat sembilan perkampungan Orang Asli dalam daerah Hulu Langat, dengan tiga daripadanya terletak dalam kawasan DUN Semenyih iaitu Kampung Orang Asli Broga, Kachau dan Sungai Lalang Baru. – HARAKAHDAILY 5/7/2025











