
LANGKAWI: Kerajaan negeri menyasarkan kutipan hasil pentadbiran tanah sebanyak RM518 juta bagi tahun 2025 menerusi pelaksanaan Sistem e-Tanah.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu
selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus digital dan meningkatkan kecekapan pengurusan tanah di negeri ini.
“Pelaksanaan sistem ini dijangka memberi impak besar terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, selain mengatasi kekangan yang wujud dalam sistem legasi sedia ada.
“Ia juga merupakan satu langkah transformasi digital yang amat signifikan bagi negeri Kedah yang dibangunkan sebagai aplikasi Kerajaan Elektronik (e-Government).
“(Ia dibina) untuk memodenkan pentadbiran tanah secara lebih efisien, telus dan mudah diakses oleh rakyat,” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Ujar Sanusi lagi, Kedah berbangga menjadi negeri kelapan yang terpilih bagi pelaksanaan Sistem e-Tanah secara pembiayaan persendirian (PFI), dengan kos pembangunan dan penyelenggaraan sebanyak RM122 juta yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 14 tahun.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pembangunan Sistem e-Tanah Negeri Kedah di Langkawi, semalam.
Mengulas lanjut kata beliau, Perjanjian Konsesi rasmi bagi pelaksanaan Sistem e-Tanah telah dimeterai pada 8 Disember 2024 lalu bersama syarikat pelaksana, Puncak Tegap Sdn Bhd dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya (Go-Live) pada November 2026 atau selewat-lewatnya April 2027.
“Sistem ini bukan sahaja akan mempercepatkan urusan, menjimatkan kos dan masa, tetapi juga akan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pelanggan dan pemegang taruh,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta syarikat pelaksana dalam memastikan prosedur kerja yang lebih seragam dan berteraskan Kanun Tanah Negara (KTN) serta Kaedah-Kaedah Tanah Negeri Kedah.
“Saya yakin dengan usaha dan komitmen bersama, Sistem e-Tanah ini akan menjadi pemangkin kepada pentadbiran tanah yang lebih cekap, telus dan berintegriti di negeri ini,” katanya lagi.
Sementara itu, sehingga 31 Disember 2024, Pentadbiran Tanah Negeri Kedah telah menyumbang sebanyak 67 peratus kepada hasil negeri dan kutipan hasil tanah yang direkodkan sebanyak RM438.56 juta.
Manakala kutipan terkini setakat 31 Mei 2025 telah mencecah RM270.67 juta. – HARAKAHDAILY 4/7/2025




















